Giroud sukar terima hakikat terpinggir di Chelsea 

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2019
Giroud sukar terima hakikat terpinggir di Chelsea 
Olivier Giroud "tidak dapat menerima hakikat" sebagai pemain simpanan dalam skuad kendalian Frank Lampard itu di Chelsea -- namun enggan mengkritik pengurus The Blues tersebut. 

Pemain antarabangsa Perancis itu meledak tunggal dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 dengan Iceland kelmarin, namun dia belum menyumbat sebarang gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu hanya membuat tiga penampilan liga musim ini, termasuk hanya sekali dalam barisan permulaan.

Situasi itu mengundang kekecewaannya di Stamford Bridge kerana dia sering menjadi taruhan di bawah bekas pengurus, Maurizio Sarri, musim lalu. 

Ditanya bagaimana dia boleh menerima kedudukan itu di  bahagian serangan Chelsea, Giroud memberitahu majalah Le Pelerin: "Akur mengenainya? Tidak, saya tidak menerimanya.

"Anda tidak perlu kritikal dalam situasi tertentu, saya sentiasa menghormati orang dan merendah diri. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pengurus, saya tidak mengkritiknya.

"Tetapi dalam diri saya, saya tidak boleh terima hal itu kerana saya tahu apa yang saya hargai di padang. Tahun lalu, apabila saya berasakan saya patut bermain, saya meminta penjelasan daripada pengurus (Sarri)."

Sejak berpindah daripada Arsenal ke Chelsea pada Januari 2018, Giroud telah memulakan hanya 14 perlawanan Liga Perdana dengan merekodkan lima gol.

Dia menegaskan bahawa dia telah mengetepikan pemain seperti Alvaro Morata dan Gonzalo Higuain di kelab itu tetapi semakin kecewa dengan kekurangan ganjaran atas usaha berterusannya itu dan ketika ini, Tammy Abraham menjadi pilihan untuk menerajui bahagian serangan kelab yang berpangkalan di London itu. 

"Bukan mudah untuk meninggalkan Arsenal lalu berpindah ke Chelsea dua tahun lalu, saya menggemari Arsenal," katanya.

"Tetapi itu adalah satu perkembangan kerana Chelsea adalah sebuah kelab Inggeris yang telah memenangi gelaran paling banyak di samping Manchester City dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

"Saya mempunyai persaingan di bahagian serangan -- Morata dan Higuain -- yang akhirnya telah angkat kaki. Saya menang pada akhirnya: Saya bermain dalam final Piala FA pada 2018 dan final Liga Europa pada 2019.

"Sekali lagi, saya memulakan musim ini dalam kesulitan tetapi seperti kata saudara-saudara saya, saya sentiasa berkembang ketika menghadapi kesukaran walaupun saya ingin bermain dengan lebih kerap!."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen