Bintang Chelsea, Eden Hazard, menyifatkan Olivier Giroud sebagai penyerang sasaran terbaik dunia selepas gandingan mereka membolehkan Chelsea membelasah Cardiff City 4-1, lewat malam semalam.

Diletakkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama bagi saingan Liga Perdana Inggeris, Giroud membalas kepercayaan pengendali, Maurizio Sarri, dengan melakukan dua bantuan gol buat Hazard tatkala bintang Belgium itu mencipta hatrik.

Persembahan cemerlang itu tampak diteruskan susulan daripada kejayaan membantu Perancis menewaskan Belanda 2-1 minggu lalu, di mana dia menamatkan kemarau gol dengan jaringan kemenangan.

Hazard menekankan faktor fizikal Giroud yang berbeza dengan Alvaro Morata membuatkannya mampu menjadi pasangan hebat di bahagian serangan.

"Dia merupakan sasaran, mungkin yang terbaik di dunia. Saya fikir begitu," kata Hazard.

"Dia mampu memegang bola dan saya berbesar hati beraksi dengannya. Apabila Morata beraksi, ia jauh berbeza.

"Kedua-dua mereka memiliki kualiti, jadi kami gembira mempunyai barisan penyerang yang bagus dalam pasukan," ujarnya.

Hazard membantu Chelsea meneruskan permulaan cemerlang musim ini apabila menyumbat dua gol sebelum rehat untuk memadamkan jaringan pembukaan Sol Bamba sebelum melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti.

Pemain berusia 27 tahun itu kini meraih lima gol musim ini dan dia memuji tahap kreativiti yang diterapkan oleh Sarri.

"Kami amat bebas di atas padang dan ketika ini, kami cuba melengkapkannya.

"Saya sentiasa gembira apabila bermain bola sepak.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik buat kelab yang telah banyak membantu saya. Saya sentiasa cuba menyumbang lebih buat pasukan, mencipta banyak peluang dan jaringan. Hasilnya, saya mencatat hatrik dan akan melakukan lebih lagi."