Olivier Giroud berasa dirinya mampu menjadi wira buat Chelsea tatkala skuad kendalian Antonio Conte itu sedang berusaha untuk meraih slot Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Liverpool hasil tandukan Giroud pada Ahad lalu membolehkan mereka mencabar kedudukan empat teratas setelah hanya dibezakan dengan dua mata di tangga kelima.

Gerakan solo Giroud juga memastikan tempat dalam final Piala FA buat Chelsea dan penyerang Perancis itu berharap pengalaman yang dimiliki ketika bersama Arsenal mampu digunakan bersama majikan barunya.

"Saya berharap dapat menjadi wira dalam laluan untuk mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara," kata Giroud yang berpindah ke Stamford Bridge pada Januari lalu.

"Kami tidak boleh menentukan segala-galanyatetapi saya sudah melalui pengalaman berjuang sehingga ke aksi terakhir sebelum ini.

"Kami harus memberikan segala-galanya dan menunggu keputusan lain. Saya yakin kerana jika beraksi dengan mentaliti seperti bertemu Liverpool, kami akan meraih ganjarannya," katanya lagi.

Giroud sebelum ini sering dijadikan sebagai pemain gantian tetapi memaksa Conte menggunakan khidmatnya susulan prestasi merudum yang ditunjukkan oleh Alvaro Morata.

"Kedatangan saya dialu-alukan sewaktu mula-mula tiba di kelab ini," tambah Giroud.

"Sejak tiba, saya berasa seperti di laman sendiri dan saya sudah berada di London beberapa tahun, ia sangat penting.

"Saya rasa apabila anda memberikan segala-galanya di atas padang, orang ramai akan menyedarinya, lebih-lebih lagi apabila anda menampilkan aksi terbaik dan menyumbang sesuatu kepada pasukan."