Gerrard akan kembali bimbing Liverpool -- Johnson

Oleh Staff Writer 21 September 2019
Gerrard akan kembali bimbing Liverpool -- Johnson
Glen Johnson yakin bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Steven Gerrard, akan mengendalikan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) satu hari nanti.

Gerrard menikmati karier selama 17 tahun di Liverpool sebagai pemain dan bertindak sebagai jurulatih skuad remaja sebelum dilantik oleh Rangers, Mei tahun lalu.

Pengendali berusia 39 tahun itu cemerlang sepanjang satu setengah tahun di Ibrox dan bagi Johnson, yang bergandingan dengan legenda The Reds itu selama enam musim dalam peringkat kelab, Gerrard akan kembali ke Anfield pada masa akan datang.

"Gerrard akan menjadi pengurus Liverpool satu hari nanti atau sekurang-kurangnya terlibat dalam apa-apa sahaja di sana," katanya kepada Daily Star.

"Sememangnya, dia kini berkelana dan menimba pengalaman yang sama seperti Frank Lampard."

Bekas rakan sepasukan Gerrard dalam skuad England, Lampard, meraih pengalaman selama semusim bersama Derby County dalam Liga Kejuaraan sebelum kembali ke Chelsea sebagai ketua jurulatih Julai lalu.

Lampard meletakkan kepercayaannya kepada barisan pemain muda dan meraih keputusan yang kurang konsisten, dan Johnson berasakan Liverpool mampu melakar kemenangan di Stamford Bridge dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.
"Saya berasakan Liverpool terlalu kuat untuk Chelsea, sejujurnya.

"Corak permainan dan intensiti Liverpool terlalu banyak untuk diserap Chelsea.

"Mereka di tahap terbaik dan Chelsea pula sebaliknya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen