Gandingan bersama Kane tarik minat Vardy

Oleh Staff Writer 29 Mac 2018 6220
Gandingan bersama Kane tarik minat Vardy
Jamie Vardy tidak sabar untuk menyaksikan sama ada dia mampu mencipta gandingan yang baik bersama Harry Kane dalam skuad England atau tidak.
 
Wira Leicester City itu mengetuai barisan depan Three Lions ketika mengikat Itali seri 1-1 di Wembley kelmarin selepas Kane masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan buku lali.
 
Walaupun keputusan menurunkannya hanya selepas pemenang dua kali anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris itu cedera, tindakan Gareth Southgate menggunakan tiga benteng membuka peluang untuk Vardy mencipta gandingan bersama Kane di jentera serangan.
 
“Saya boleh rasakannya. Kami harus menunggu dan melihat perancangan seterusnya,” kata Vardy.
 
“Amat bagus jika dapat melihat gandingan itu dan mengetahui sama ada ia satu kelebihan buat pasukan. Ia memberikan lebih pilihan kepada kami dan lebih membuatkan semua pemain selesa dengan formasi yang diterapkan jurulatih,” katanya.
 
Berdasarkan konsep pemain sayap pertahanan yang diterapkan Southgate, England kini tampak lebih terarah kepada penggunaan formasi 3-1-4-2.
 
Mereka menggunakan khidmat Jordan Henderson sebagai pemain tengah bertahan ketika berdepan Belanda, sebelum mempertaruhkan Eric Dier dalam pertemuan dengan Itali, sementara Jesse Lingard dan Alex Oxlade-Chamberlain diberikan kebebasan untuk mencipta gerakan ke kawasan lawan.
 
Vardy tampak selesa membuat barisan benteng Azzurri kepenatan melalui larian deras sambil gandingannya, Raheem Sterling, turut mempamerkan aksi hebat.
 
“Saya dan Sterling bercakap sebelum perlawanan.
 
“Dia gemar untuk turun ke bawah dan mendapatkan bola, jadi ia memberi saya peluang untuk menarik lebih ramai pertahanan lawan sehingga memberikan ruang buat Sterling.”

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen