Gagal sempurnakan penalti, Abraham tetap yakin

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 309
Gagal sempurnakan penalti, Abraham tetap yakin
Pemain muda Chelsea, Tammy Abraham, tidak bercadang untuk berputus asa mengambil sepakan penalti meskipun dia gagal menyempurnakannya ketika tewas di tangan Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA di Istanbul, awal pagi semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu gagal menyempurnakan sepakan penalti tatkala anak buah Frank Lampard itu tewas 5-4 selepas kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan.

Namun, Abraham, yang menjaringkan 26 gol untuk Aston Villa dalam saingan Liga Kejuaraan musim lalu, menegaskan dia sentiasa yakin dengan kemampuannya mengambil tugasan sepakan penalti.

"Saya menjaringkan sebilangan kecil daripadanya. Malangnya, saya gagal ketika detik penting buat Chelsea," katanya.

"Mereka berkata pemain hebat sentiasa gagal sempurnakan penalti dan ia bergantung kepada cara anda memberi reaksi. Saya hanya perlu terus berusaha.

"Saya sentiasa percaya dengan kemampuan mengambil sepakan penalti. Ada jaringan yang saya hasilkan daripadanya musim lalu. Malangnya, kali ini saya gagal sewaktu melalui detik paling penting.

"Ia lebih kepada bagaimana saya memberi reaksi dan bangkit. Rakan sepasukan membuatkan ia seperti tidak pernah berlaku. Ia satu kelompok pemain yang bagus dan kini kami fokus berdepan Leicester City."

Meskipun tewas, persembahan Chelsea menentang Liverpool mencetuskan keyakinan mengenai peluang mereka musim ini selpas dimalukan Manchester United 4-0, Ahad lalu.

Abraham berharap agar skuad bimbingan Lampard itu yang melayan kunjungan Leicester dua hari lagi mampu bergelar pencabar kejuaraan dalam liga.

"Kebanyakan pemain melihat corak yang diinginkan Lampard dan kami cuba mempraktikkannya menentang Liverpool. Kami mempamerkan keinginan tinggi dalam apa yang dilakukan," tambah Abraham.

"Kami adalah ancaman, bagus ketika bertahan dan mampu menyerang. Kami cuma perlu perbaikinya. Seluruh pasukan memberikan saya keyakinan.

"Setiap kali sewaktu sesi latihan, sebelum perlawanan, mereka akan menjulang saya. Saya harus cuba lebih gigih musim ini dan diharapkan kami dapat mencabar kejuaraan.

"Kami sepatutnya menang dalam aksi Piala Super UEFA dan pertemuan dengan United tetapi masih awal. Musim masih panjang dan kami masih bersaing dalam kejohanan besar. Ia bergantung bagaimana kami memberi reaksi. Mata pada Ahad ini pastinya bagus buat kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen