Fulham mengumumkan kesepakatan dengan pemain antarabangsa Belanda, Ryan Babel, dalam usaha meningkatkan perjuangan mereka mengelakkan tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Babel menyertai Besiktas dalam saingan Super Lig Turki sehingga penghujung musim ini.

Bekas tonggak Liverpool dan Ajax itu telah menyumbat empat gol liga dalam 12 penampilan untuk Besiktas musim ini.

Menawarkan pilihan di bahagian sayap atau serangan, Babel akan kembali ke kancah Liga Perdana sejak meninggalkan Anfield pada 2011.

"Tanggapan pertama saya terhadap kelab ini amat bagus dan saya sangat teruja," kata pemain berusia 32 tahun tersebut kepada laman sesawang rasmi kelab.

"Saya sangat yakin bahawa Fulham mampu kekal. Itulah salah satu sebabnya saya di sini, untuk mencuba dan membantu kelab.

"Saya sudah bersedia untuk diturunkan. Saya teruja dan tidak sabar lagi (untuk beraksi)."

Babel boleh membuat kemunculan pertama bersama Fulham ketika menentang Tottenham dalam aksi liga di laman sendiri Ahad ini.

Skuad kendalian Claudio Ranieri itu kini menghuni tangga ke-19, lima mata terpisah daripada zon selamat setelah hanya menang sekali dalam aksi aksi liga sejak November lalu.