Legenda Liverpool, Robbie Fowler, dilantik sebagai ketua jurulatih Brisbane Roar dengan perjanjian selama dua tahun.

Fowler, 44, akan mengendalikan pasukan Liga-A Australia itu walaupun kurang berpengalaman sebagai pengurus -- pernah menjadi jurulatih merangkap pemain buat kelab Thailand, Muangthong United, dalam musim 2011-12 dan bekerja di Akademi Liverpool.

Bekas bintang penyerang itu -- buat skuad kebangsaan England dan idola di Anfield selepas menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris buat Liverpool -- pernah beraksi selama dua musim di Australia bagi membantu North Queensland Fury dan Perth Glory.

Fowler akan mengemudi pasukan Brisbane itu sebaik musim baru bermula dengan Roar kini hampir pasti menamatkan musim di tangga kedua tercorot dengan berbaki satu perlawanan musim ini.

"Saya tidak sabar untuk berdepan cabaran dan berazam untuk membawa kejayaan buat kelab yang mempunyai sejarah besar dalam Liga-A ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya tidak sabar untuk memulakan tugas dan melakukan perubahan.

"Saya dan keluarga saya pernah menjalani hidup di Queensland, jadi kami amat gembira untuk kembali dan menjadi sebahagian daripada keluarga Brisbane Roar."

Ketua Eksekutif Roar, David Pourre, mengalu-alukan kedatangan Fowler, yang menjuarai Piala UEFA, Piala FA dan dua Piala Liga Inggeris (EFL) sewaktu bergelar pemain.

"Saya gembira untuk mengambil peluang ini bagi mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan Robbie ke dalam pasukan kesayangan kami.

"BRFC amat berkeyakinan yang kami sudah melantik seorang yang hebat dan laparkan kejayaan.

"Saya sedar ahli kami, pihak penaja dan penyokong akan teruja untuk menantikan musim 2019-20," katanya.

Roar merupakan juara tiga kali Liga-A, namun kali terakhir mereka memenangi gelaran itu adalah pada 2014.