Manchester City mengikat salah seorang pemain muda berbakat mereka sebaik Phil Foden menandatangani kontrak baru sehingga 2024.

Foden belum pernah melakukan penampilan dalam kesebelasaan utama Liga Perdana Inggeris, namun dilihat sebagai bakat muda paling menyerlah dalam bola sepak England ketika ini.

Pemain tengah berusia 18 tahun itu pernah dibandingkan dengan ikon Barcelona, Andres Iniesta.

City pernah kehilangan pemain muda berbakat, Jadon Sancho, yang memilih untuk berpindah ke Borussia Dortmund.

Sancho membuktikan ketepatan keputusannya itu menerusi aksi memukau bersama Dortmund yang turut memberikannya penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England.

Brahim Diaz turut dijangka meninggalkan Stadium Etihad selepas mendapat perhatian daripada gergasi Sepanyol, Real Madrid, walaupun kontraknya bersama City masih berbaki setahun.

Pemain kelahiran Stockport, Foden, membuktikan komitmennya bersama City dan akan menjadi pembakar semangat buat juara bertahan itu selepas tewas kepada Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris, hujung minggu lalu.

"Kami dengan rasa penuh gembira mengumumkan Phil akan kekal bersama pasukan untuk tempoh lima setengah tahun.

"Dia lahir dan dibesarkan di Manchester. Di sinilah tempatnya untuk bermain bola sepak.

"Di bawah kendalian Pep (Guardiola) dan barisan pemain yang kami miliki, dia berada di tempat yang tepat untuk berkembang menjadi seorang pemain terbaik," kata Pengarah Bolasepak Manchester City, Txiki Begiristain.

Foden menjaringkan gol pertamanya bersama City ketika saingan Piala EFL menentang Oxford United, September lalu.

Dia turut menjadi pemain gantian dalam lapan perlawanan Liga Perdana.

"Saya seperti berada di bulan.

"Saya dilahirkan di sini dan membesar bersama orang di sini.

"Ia seperti mimpi menjadi kenyataan sebaik saya menandatangani kontrak itu.

"Sasaran saya kini adalah untuk terus bersabar menanti peluang membarisi kesebelasan utama," katanya.