Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak pernah melihat ramai pemain berkebolehan seperti Phil Foden dan percaya dia adalah pemain yang istimewa dan memiliki "sesuatu yang sukar dicari".

Foden, yang membuat permulaan keduanya dalam kesebelasan utama aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), menyumbat gol tunggal perlawanan bagi membantu City pulih daripada tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Tottenham, pertengahan minggu lalu, untuk menundukkan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu 1-0 di Stadium Etihad, kelmarin.

Foden, 18, merupakan sebahagian daripada anggota skuad England yang menjuarai Piala Dunia B-17 pada 2017, tetapi mendapati dirinya bergelut untuk merebut tempat di sebalik kehadiran pemain tengah berkelas tinggi yang direkrut Guardiola.

Foden membuat 25 penampilan musim ini, peningkatan yang ketara daripada 10 perlawanan musim lalu dan kecederaan yang menghimpit Kevin De Bruyne ketika bertemu Spurs boleh menawarkan peluang untuknya beraksi berdepan Manchester United, awal pagi Khamis ini.

Guardiola pernah membimbing beberapa pemain tengah yang memiliki kemampuan teknikal tinggi pada era moden, termasuk Xavi dan Andres Iniesta di Barcelona manakala Toni Kroos, Bastian Schweinsteiger dan Xabi Alonso di Bayern Munich.

Apabila ditanya sama ada dia memiliki pemain seperti Foden di Barca, Guardiola menjawab: "Tidak. Dia adalah pemain istimewa."

Mengenai bagaimana pemain remaja itu boleh merebut tempat dalam skuad utama, dia berkata: "Musim depan dia harus bersaing dengan Fernandinho, David Silva, Kevin dan Ilkay Gundogan. Dia perlu terus meyakinkan saya bahawa dia berkemampuan untuk beraksi. Tetapi saya menaruh kepercayaan tinggi terhadapnya.

"Apabila saya baru sampai di Manchester, Pengarah Bola Sepak, Txiki Begiristain, memberitahu saya: 'Anda perlu bertemu dengan seorang pemain ini yang berumur 15 atau 16 tahun, anda perlu mengenali dia.'

"Dalam musim pertama di bawah kendalian saya, saya menjemputnya untuk berlatih selama sehari dua hari bersama skuad utama dan saya berkata, 'Wah, betullah Txiki. Pemain ini bagus.'

"Bagaimanapun, saya tahu bagaimana semua ini berjalan. Pemain muda perlu berhati-hati. Cepat anda boleh naik, cepat juga anda mengalami kejatuhan. Kadang-kadang anda perlu mengendalikan sedikit situasi seperti itu tetapi kami tidak meragui kemampuannya," katanya.

Tambah Guardiola: "Dia mempamerkan mutunya ketika diturunkan. Dia seperti pemain handalan dan dia sebaris dengan pemain Manchester City yang lain. Bukan mudah untuk mewakili pasukan besar seperti Tottenham atau Barcelona, Real Madrid.

"Dia mampu melakukannya. Dia baru berumur 18 tahun dan itulah sebabnya saya sangat berpuas hati.

"Saya melihatnya berlatih setiap hari. Dia mempunyai sesuatu yang istimewa dan saya telah melihat ramai pemain berbakat ketika bergelar pemain mahupun pengurus. Sudah ramai yang saya lihat tetapi dia menawarkan sesuatu yang sukar dicari.

"Dia perlu bersabar, bekerja keras dan itu sahaja. Kami akan melihat berapa lama kariernya akan bertahan. Saya harap dalam tempoh yang lama."