Pemain Liverpool, Roberto Firmino, terlepas daripada sebarang hukuman selepas pertahanan Everton, Mason Holgate, melakukan tuduhan kepadanya dengan mendakwa bintang Brazil itu mengeluarkan kata-kata kesat ketika pertemuan kedua-dua pasukan, bulan lalu.

Insiden itu berlaku dalam pertemuan Piala FA di Anfield pada 5 Januari lalu, menyaksikan Liverpool meraih kemenangan hasil gol tandukan pertahanan termahal dunia, Virgil Van Dijk.

Holgate dilihat menolak Firmino ke bangku penonton sehingga mewujudkan perbalahan di antara mereka dan pertahanan itu tampak berang selepas Firmino dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

Bagaimanapun, siasatan pihak Persatuan Bolasepak England (FA) yang melibatkan 12 pemain dan wakil daripada kedua-dua kelab serta pengadil perlawanan, Bobby Madley, bersama pengadil keempat gagal membuktikan dakwaan terhadap Firmino itu.

Dalam satu temuramah, Firmino mengakui dia telah mengatakan sesuatu kepada Holgate dalam bahasa Portugis tetapi menafikannya bersifat perkauman.

"Selepas mengambil kira segala bukti, kami dapati ia tidak cukup untuk mengenakan sebarang hukuman terhadap Firmino.

"Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan tuduhan yang diberikan oleh Holgate dan ia tidak memiliki ciri-ciri dengki dan dendam," kata kenyataan pihak FA.