TOTTENHAM HOTSPUR 0 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp berkata Roberto Firmino memohon maaf kerana tidak dapat menambah jaringan selepas membantu kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di London awal pagi tadi.


Keputusan itu bermakna Liverpool memenangi 20 daripada 21 perlawanan liga musim ini dan berkelebihan 16 mata ke atas pasukan di tangga kedua, Leicester City.

Kelebihan itu akan berkurangan kepada 14 mata seandainya Manchester City menewaskan Aston Villa awal pagi esok tetapi Liverpool berada di landasan terbaik untuk dinobatkan sebagai juara England buat kali pertama sejak 30 tahun lalu.

Firimino muncul penjaring tunggal perlawanan itu pada minit ke-37 tetapi pemain kebangsaan Brazil itu tidak berasa baik selepas tamat perlawanan, menurut Klopp.

"Apabila saya datang untuk memberikan pelukan kepadanya selepas perlawanan, dia menghentikannya dan mahu berkata sesuatu terlebih dahulu.

"Dia berkata: 'Saya tahu, saya patut menjaringkan lebih banyak gol'.

"Ia bukanlah apa yang saya mahu katakan!

"Ia mungkin ada kebenarannya. Dia sepatutnya terus menjaringkan gol dalam percubaan pertama.

"Dia pemain yang luar biasa, amat luar biasa.

"Ia bukan kali pertama saya katakannya dan harap-harap ia bukan kali terakhir.

"Dia amat mengagumkan," katanya.

Giovani Lo Celso terlepas peluang keemasan untuk memberikan satu mata buat Spurs pada penghujung perlawanan.

Ia mengejutkan Liverpool yang sebelumnya menguasai perlawanan untuk tempoh yang panjang dan Klopp mengakui anak buahnya terpaksa bekerja keras untuk menumbangkan skuad kendalian Jose Mourinho itu.

"Kami perlu memainkannya dan pada penghujung perlawanan, kami perlu berjuang untuknya. Ia amat sukar.

"Kami sepatutnya menamatkan perlawanan lebih awal, itulah yang boleh saya katakan.

"Peluangnya sudah terbuka.

"Adakalanya kami tidak dapat mencipta peluang.

"Tetapi saya boleh katakan yang mereka memiliki peluang 100 peratus.

"Berdepan pasukan seperti Tottenham, ia tidak dapat ditentukan dan pada akhirnya, kami memerlukan tuah daripada Alisson dalam beberapa situasi.

"Ia amat mendebarkan tetapi saya fikir kami layak mendapat tiga mata.

"Ia bukanlah permainan terbaik kami tetapi ia masih bagus.

"Dan seperti yang saya katakan, (kami bermain) bola sepak yang amat bagus dalam kebanyakan tempoh permainan dan ia perlawanan yang sengit.

"Semuanya baik-baik sahaja," katanya.

Liverpool akan kembali beraksi dalam EPL hujung minggu depan menentang seteru utama, Manchester United, yang merupakan satu-satunya pasukan yang mampu mencuri mata daripada mereka sepanjang musim ini.



Editor: Muzaffar Musa