Fernandinho tidak akan meninggalkan Manchester City pada akhir musim ini selepas tonggak Brazil itu memeterai kontrak baru selama setahun.

Pemain berusia 34 tahun itu dijangka akan angkat kaki pada Julai depan berikutan rundingan baru yang buntu sebelum ini, namun City berjaya memastikan dia akan kekal untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

Pemain tengah itu menyertai City daripada Shakhtar Donetsk pada 2013 dan sejak itu, kelibatnya menjadi nadi buat pasukan apabila sekurang-kurangnya akan tampil dalam 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam setiap musim.

Dia juga kekal sebagai watak utama musim ini apabila telah beraksi dalam 20 daripada 24 perlawanan dengan mengisi posisi pertahanan tengah akibat krisis kecederaan yang melanda bahagian itu.

Memilih untuk kekal di kelab itu untuk semusim lagi merupakan satu keputusan yang jelas.

"Ia mudah," katanya kepada laman sesawang rasmi City.

"Ada ketikanya dalam hidup ini, anda tidak hanya memikirkan soal diri sendiri, sebaliknya tentang keluarga dan anak-anak anda. Mereka merupakan antara sebab saya memutuskan untuk menandatangani kontrak lanjutan.

"Saya gembira, keluarga saya gembira, jadi saya berharap peminat City juga gembira."

The Citizens sudah bersedia untuk kehilangan David Silva pada hujung musim ini selepas pemain Sepanyol itu mengesahkan perancangannya untuk kembali ke Sepanyol agar membolehkannya berada lebih dekat dengan keluarganya.

Fernandinho telah memenangi tiga gelaran EPL di City, namun tampaknya gagal menambah gelaran itu musim ini berikutan Liverpool selesa dengan kelebihan 16 mata di puncak.




Editor: Shaiful Shamsudin