Fernandinho memberi amaran kepada Manchester City bahawa mereka mungkin terkeluar daripada kelompok empat teratas seandainya meneruskan prestasi buruk.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu kini lebih menghampiri kedudukan kelima berbanding tangga teratas selepas gagal memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir -- termasuk kekalahan 0-2 kepada Tottenham Hotspur awal pagi semalam.

Juara dua musim berturut-turut itu ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dan hanya dibezakan 14 mata dengan pasukan di tangga kelima, Spurs.

Fernandinho menegaskan City mungkin terkeluar daripada kelompok itu sekiranya mereka gagal mengatasi prestasi buruk berkenaan.

"Kami perlu fokus kepada EPL juga, bukan hanya kejohanan lain.

"Jika kami tidak meneruskannya, kami boleh terkeluar daripada kelompok empat teratas.

"Jadi, kami perlu layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

"Kami akan fokus kepada kejohanan piala dan UCL tetapi kami tetap profesional.

"Kami perlu menunjukkan perwatakan sehingga hujung musim ini dan menamatkan liga di kedudukan terbaik," katanya.

Ketika mereka ketinggalan dalam liga, City menempah tempat dalam final Piala EFL dan masih bersaing dalam Piala FA dan UCL.

Tetapi Fernandinho berasakan City tidak boleh mencipta peluang dengan risiko.

"Sepanjang empat musim lalu, kami sudah bermain seperti ini.

"Dalam dua musim terakhir, kami amat luar biasa.

"Kami memenangi EPL sebanyak dua kali dan mengumpulkan 198 mata dalam dua musim.

"Kami tidak banyak berubah.

"Kami bergerak dengan cara yang sama, mencipta peluang tetapi jika anda tidak menjaringkan banyak gol, anda tidak boleh memenangi perlawanan.

"Kami perlu mencari penyelesaiannya, bermula esok dalam sesi latihan dan meneruskannya ketika menentang West Ham di laman sendiri dalam perlawanan seterusnya.

"Kami perlu merombak situasi dan terus menang," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa