Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini, berpendapat pasukannya kini berdepan tugas sukar untuk mendekatkan diri dengan pencabar Liga Perdana Inggeris selepas sekadar seri 1-1 ketika bertemu Wolverhampton Wanderers, lewat malam semalam.

Fred memberikan tuan rumah pendahuluan selepas 18 minit beraksi tetapi Joao Moutinho kembali mengikat kedudukan buat Wolves selepas rehat setelah Raul Jimenez membuka ruang untuknya melepaskan rembatan kaki kiri.

Keputusan itu menyaksikan United kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang menundukkan Southampton 3-0, dan Fellaini jelas sedar akan situasi itu.

"Semua orang sangat kecewa. Kami tahu kami mampu mempamerkan aksi lebih bertenaga," ujar Fellaini.

"Kami harus menang kerana selepas itu, sukar untuk merapatkan jurang dalam kedudukan liga. Semua pemain berasa kecewa tetapi itulah bola sepak.

"Kami harus menggerakkan bola lebih pantas dan apabila mencipta peluang, ia perlu disudahkan dengan jaringan," katanya lagi.