Norwich City akan berdepan salah satu pasukan terbaik dunia apabila bertemu Liverpool dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, kata Daniel Farke.

Juara Liga Kejuaraan itu akan bertandang ke Anfield, awal pagi esok, bagi melakukan penampilan pertama mereka dalam liga divisyen utama England sejak 2016.

Liverpool pula, yang akan beraksi buat kali pertama di Anfield sejak menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL), akan memulakan musim sebagai pasukan kedua terbaik di belakang juara bertahan, Manchester City.

Walaupun akan berdepan lawan berkaliber, Farke berjanji akan memberikan aksi setara dengan Liverpool.

"Mereka adalah antara pasukan terbaik di dunia. Bagi saya, mereka adalah yang terbaik buat masa ini," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Ia merupakan tugasan paling sukar sebagai permulaan.

"Ia merupakan kali pertama mereka kembali beraksi di Anfield selepas memenangi Liga Juara-Juara, jadi mereka amat yakin dan fokus.

"Saya tidak boleh bercakap terlalu tinggi dengan Jurgen Klopp.

"Dia jurulatih bertaraf dunia dan apa yang telah dilakukannya bersama Liverpool amat luar biasa.

"Kami sedar bahawa kami bukan pasukan pilihan, namun kami tidak akan mengibarkan bendera putih.

"Apa yang boleh saya janjikan, kami akan ke sana bukan sahaja untuk mempamerkan prestasi terbaik tetapi keputusan yang baik juga," katanya.

Norwich mengatasi permulaan perlahan dalam Liga Kejuaraan musim lalu untuk menamatkan musim dengan kelebihan lima mata selaku juara.

Farke, yang juga bekas jurulatih skuad simpanan Borussia Dortmund, berpuas hati dengan kualiti pasukannya sambil berjanji tidak akan beraksi bertahan di Anfield.

"Amat penting untuk kami membawa keyakinan daripada musim lalu.

"Kami kini berada di tahap berbeza dan kami perlu membuktikannya sekali lagi.

"Membuktikannya di atas padang.

"Musim lalu, kami mampu mencipta kejutan kerana mereka mahukan kami berbelanja besar.

"Kami bersedia untuk melakukannya sekali lagi musim ini.

"Walaupun kami boleh meletakkan bas di depan gol, kami tidak mahu melakukannya.

"Kami akan berdepan ramai pemain yang menyerang dan jika kami mahu berjaya, kami perlu beraksi baik dan menguasai bola.

"Jika kami hanya bertahan, kami tidak berpeluang untuk memperoleh keputusan yang baik.

"Saya percaya dengan pemain saya dan kami akan mencari jalan untuk menjadi kompetitif," katanya lagi.