Pembantu pengurus Manchester United, Rui Faria, bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim, sekali gus menamatkan 17 tahun kerjasama dengan Jose Mourinho.

Faria merupakan orang kanan Mourinho ketika bersama Porto, Chelsea, Inter, Real Madrid dan dua musim di Old Trafford.

Jurulatih berusia 42 tahun itu dikaitkan menjadi pilihan untuk menggantikan Arsene Wenger yang bakal meninggalkan Arsenal dan Mourinho sendiri menyokong Faria adalah pengganti terbaik di Stadium Emirates.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web rasmi United, Faria menyatakan keinginannya untuk meluangkan masa bersama keluarga menjadi motivasi untuk berpisah dengan Mourinho.

"Selepas berbincang dalam tempoh yang panjang, dengan berat hati saya mengambil keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Mourinho," kata Faria.

"Saya telah mengharungi 17 tahun yang menarik dan pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Tetapi saya berasakan sudah tiba masa buat saya meluangkan masa bersama keluarga sebelum mengejar cabaran baru.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mourinho kerana sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya.

"Beliau memberikan peluang dan keyakinan dan paling penting adalah persahabatannya," tambahnya.

Michael Carrick akan menyertai staf kejurulatihan Mourinho tetapi masih tiada pengumuman mengenai pengganti Faria.

"17 tahun. Leiria, Porto, London, Milan, Madrid, London dan Manchester. Berlatih, bermain, merantau, belajar, ketawa dan terluka," kata Mourinho.

"Seorang pelajar yang kini dewasa dan memiliki kepakaran dalam bola sepak. Faria sudah bersedia untuk memiliki karier yang berjaya sebagai pengurus.

"Saya akan merindui rakan saya. Saya menghormati keputusannya," ujarnya.

United bakal berdepan Chelsea dalam final Piala FA di Wembley minggu depan selepas memastikan mereka mengakhiri saingan di tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).