Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, percaya jurulatih baru, Thomas Tuchel, turut berkongsi falsafah menyerang kelab itu.

Tuchel dilantik untuk menggantikan Unai Emery yang dipecat Isnin lalu setelah berehat sejak meninggalkan Borussia Dortmund pada Mei 2017.

Emery mengetuai PSG untuk tiga kejuaraan domestik musim ini tetapi kontraknya selama dua tahun di Parc des Princes tidak diteruskan.

Begitupun, Mbappe percaya Tuchel secocok untuk tugasan barunya dan tidak sabar untuk memulakan kerjasama di bawah pengurus dari Jerman itu.

"Saya berhadapan dengannya ketika mewakili AS Monaco (dalam Liga Juara-Juara 2017)" katanya kepada Le Parisien.

"Pasukannya memperagakan corak menyerang dan di PSG, kami juga mempunyai pemain yang menggemari permainan seperti itu, jadi ia adalah asas yang baik untuk bermula.

"Ini adalah bab baru dalam sejarah PSG. Kontrak Unai Emery telah pun berakhir, dan oleh itu, kini adalah bab Thomas Tuchel.

"Kelab tidak berubah, hanya jurulatih berubah tetapi jika dia datang, ia adalah kerana dia seorang pengurus yang bercita-cita tinggi.

"Saya belum berjumpa dengannya lagi, namun saya akan bertemu dengannya kerana kami akan menghabiskan banyak masa dengannya."