Monaco telah mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk membawa pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas, ke Ligue 1.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang tidak lagi berada dalam perancangan Maurizio Sarri dan kontraknya bakal berakhir Jun depan, telah berhijrah ke Monaco.

Fabregas menyertai Chelsea daripada Barcelona pada 2014 dan bertindak selaku tonggak utama buat Jose Mourinho dan Antonio Conte, dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah pimpinan kedua-dua pengurus itu.

Bagaimanapun, kehadiran Sarri bagi musim 2018-19 bagaikan penamat buat karier Fabregas di Chelsea apabila pengendali kelahiran Itali itu membawa masuk Jorginho dan terus berada dalam kesebelasan utama.

"Saya sangat gembira kerana dapat menyertai Monaco, ini merupakan projek baru buat saya," kata Fabregas. "Pasukan ini dibarisi pemain-pemain serta jurulatih yang muda.

"Saya mahu membantu pasukan dan tidak sabar untuk turun beraksi berdepan Marseille esok."

Naib presiden, Vadim Vasilyev berkata, "Kami sangat teruja untuk mendapatkan khidmat Fabregas, pemain bertaraf dunia dan seorang yang profesional.

"Kehadirannya sekali gus meningkatkan aspek teknikal pasukan dan pengalamannya amat diperlukan buat pemain-pemain," ujarnya.

Penghijrahan Fabregas ke Monaco secara tidak langsung menyaksikan dia kembali bekerjasama dengan rakan sepasukan ketika menyarung jersi Arsenal, Thierry Henry.