Memujuk Kylian Mbappe supaya meninggalkan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), dan menyertai Liverpool menjadi agenda kepada pemain baru yang direkrut The Reds, Fabinho.

Pemain tengah Brazil itu beralih angin dari kancah Ligue 1, Monaco, ke Liverpool dalam kesepakatan yang dilaporkan bernilai €50 juta (RM236.5j).

Justeru, Fabinho mahu bekas rakan sepasukannya di Monaco dan pemenang Piala Dunia, Mbappe -- yang memberitahu mahu kekal di PSG di sebalik minat daripada Real Madrid -- untuk bergabung dengannya di Anfield.

Mbappe mencetuskan sensasi dalam temasya Russia 2018. Pemain berusia 19 tahun itu meledak empat gol untuk meraih Anugerah Pemain Muda Terbaik kejohanan itu.

"Dia (Mbappe) sudah mengatakan musim ini dia akan kekal di PSG tetapi saya akan cuba secara perlahan-perlahan untuk meyakinkannya untuk datang," kata Fabinho.

Fabinho dan Mbappe beraksi bersama pada 2017 yang menyaksikan Monaco mengetepikan PSG untuk memenangi Ligue 1.

Mbappe meninggalkan Monaco dan menghabiskan kempen musim lalu di PSG sebagai pemain pinjaman yang menyaksikan dia memenangi tiga kejuaraan domestik.

Dengan kedua-dua pemain kini telah meninggalkan Monaco, Fabinho mendedahkan beliau menerima ucapan tahniah daripada Mbappe berikutan perpindahannya ke Merseyside.

"Kylian Mbappe menghantar saya pesanan teks untuk mengucapkan tahniah kepada saya kerana berpindah ke Liverpool. Malangnya saya tidak mempunyai peluang untuk mengucapkan tahniah kepadanya atas apa yang dilakukannya semasa Piala Dunia," kata Fabinho.

"Apa yang dilakukan Perancis adalah hebat, apa yang dilakukan Mbappe dalam tempoh dua tahun sebagai pemain bola sepak profesional adalah luar biasa.

"Dia merupakan fenomena dan perlu diberi ucapan tahniah. Sebaik sahaja saya berpeluang, saya akan melakukannya."