Everton akan menyiasat dakwaan yang melibatkan penjaga gol mereka, Jordan Pickford.

Rakaman video yang merakamkan penjaga gol England itu terlibat dengan pergaduhan di jalanan, tular di laman sosial, baru-baru ini.

"Kelab ini telah dimaklumkan mengenai kejadian yang dikatakan melibatkan salah seorang pemain kami dan sedang menyiasat perkara itu," kata kelab Liga Perdana itu dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 25 tahun itu tersenarai dalam kesebelasan utama setiap perlawanan liga The Toffees, musim ini.

Dia merupakan faktor utama Everton tidak dibolosi ketika menewaskan West Ham 2-0 di Stadium London, minggu lalu.

Pickford menjadi penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak British ketika meninggalkan Sunderland untuk menyertai pasukan Merseyside itu dengan perpindahan bernilai £30 juta (RM160.1 juta) pada 2017.

Dia turut memainkan peranan penting yang membawa England ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu.

Selepas ini, Everton akan menantikan kunjungan Arsenal bagi aksi Liga Perdana Inggeris, hujung minggu ini.