Everton memuktamadkan perpindahan Gyfli Sigurdsson yang bersetuju dengan kontrak selama lima tahun untuk meninggalkan Swansea City dengan yuran perpindahan termahal kelab yang dilaporkan bernilai £45 juta (RM249.2j).

Pemain berusia 27 tahun itu meledak sembilan gol buat Swansea musim lalu dan mencipta 13 bantuan gol untuk membantu pasukannya kekal dalam saingan paling tinggi di England.

Sigurdsson disisihkan di Swansea sejak diketepikan dalam jelajah pra-musim di Amerika Syarikat (AS) berikutan hasrat Ronald Koeman menjadikan pemain itu sebagai salah seorang sasaran utamanya dalam usaha membawa Everton ke pentas Liga Juara-Juara.

Selepas beberapa kali mengadakan rundingan, Sigurdsson akhirnya menyertai Wayne Rooney, Jordan Pickford, Michael Keane, Sandro Ramirez dan Cuco Martina yang turut tiba di Goodison Park.

"Saya berharap akan dapat terus mencipta peluang dan menyumbat gol buat pasukan dan menyumbang kepada kejayaan yang diimpikan di kelab ini," kata Sigurdsson kepada EvertonTV sejurus melengkapkan perpindahannya.

"Kelab ini bercita-cita tinggi dan jelas sekali kami sedang menuju ke arah yang tepat. Apa yang paling penting adalah kelab ini terus memenangi perlawanan dan mendaki kedudukan liga, melakukannya sepanjang musim ini.

"Bagi saya sendiri pula, saya mahu terus menjaringkan gol sebanyak mungkin dan mencipta peluang kepada rakan-rakan sepasukan. Itulah sasaran saya.

"Tetapi, semuanya tetap sama: selagi pasukan ini menang, saya sudah cukup gembira."

Koeman yang akhirnya berjaya memancing pemain yang dihajatinya berkata: "Saya sangat gembira kerana pihak pengurusan, terutama pengerusi kami, Bill Kenwright, sudah melakukan yang terdaya untuk mendapatkannya.

"Ia mengambil sedikit masa tetapi kami akhirnya mendapatkan pemain yang diperlukan.

"Pada pandangan saya, dia salah seorang yang terbaik di posisinya dalam kancah ini. Kami sudah mendapatkannya dan ia sangat bagus untuk pasukan."