Jonny Evans, Gareth Barry, Jake Livermore dan Boaz Myhill tampil mengakui mereka adalah empat pemain West Brom yang terlibat dalam "pelanggaran perintah berkurung" semasa kem latihan pusat.

West Brom, yang terperosok di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), tujuh mata dipisahkan dari zon selamat, dibawa ke Sepanyol minggu ini oleh pengurus, Alan Pardew, dalam usaha untuk mengubah nasib mereka.

Menurut laporan akhbar The Sun, sekumpulan pemain West Brom didakwa memandu teksi dari francais makanan segera, McDonald, tanpa pengetahuan pemiliknya dan meninggalkan kenderaan tersebut di luar hotel mereka.

Semasa menghadapi sidang media semalam, Pardew mengesahkan West Brom akan menyiasat insiden itu dan berasa kecewa dengan pemain yang terlibat sungguhpun dia enggan menamakan pemain-pemain tersebut.

Namun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, ketua pasukan, Evans, mengesahkan dirinya salah seorang daripada empat individu terbabit tanpa berkongsi butiran lanjut.

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada rakan sepasukan, ketua jurulatih, kelab dan khususnya penyokong sehingga topik ini mendapat publisiti meluas dan negatif," kata kenyataan bersama Evans, Barry, Livermore dan Myhill.

"Kami berasa adalah penting untuk tampil mengaku sebagai pemain yang terlibat dalam insiden yang berlaku semasa kem latihan di Sepanyol minggu ini kerana menghormati rakan sepasukan dan implikasi yang berlaku.

"Kami mengakuinya dan memohon maaf kerana melanggar perintah berkurung, kami mempunyai tanggungjawab profesional sebagai wakil West Brom.

"Kelab telah memaklumkan kepada kami bahawa siasatan dalaman akan dijalankan terhadap insiden itu dan kami akan memberi kerjasama sepenuhnya.

"Sementara itu, kami ingin memberi jaminan kepada penyokong bahawa insiden ini tidak mencerminkan keazaman kami untuk bangkit daripada musim yang sukar."

Pemain antarabangsa Ireland Utara, Evans, dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City bulan lalu manakala Barry dan Livermore merupakan sebahagian tonggak antarabangsa England selain penjaga gawang, Myhill, yang pernah menganggotai Wales.

Pengerusi West Brom, John Williams, dan Ketua Eksekutif, Martin Goodman, dipecat oleh pemilik, Guochuan Lai, pada awal minggu ini, sementara Jay Rodriguez sedang menghadapi pertuduhan Persatuan Bola Sepak England berhubung insiden perkauman membabitkan pertahanan Brighton & Hove Albion, Gaetan Bong, bulan lalu.