Eriksen sentiasa gembira di Tottenham -- Pochettino

Oleh Staff Writer 13 September 2019 273
Eriksen sentiasa gembira di Tottenham -- Pochettino
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berkata Christian Eriksen kekal gembira bersama pasukannya walaupun wujud spekulasi mengenai masa depan pemain tengah itu selama beberapa bulan.

Bintang Denmark itu menyuarakan hasratnya untuk mendapatkan cabaran baru selepas layak ke final Liga Juara-Juara Eropah, Jun lalu.

Kenyataan Eriksen itu menarik minat Atletico Madrid, Juventus, Manchester United dan Real Madrid tetapi segala usaha keluar daripada kelab gagal diselesaikan sebelum tamat jendela perpindahan.

Kelab lain mungkin akan cuba mendapatkannya semula sebaik sahaja perancang itu memasuki tempoh enam bulan terakhir kontrak, Januari depan tetapi Pochettino tidak risau mengenai komitmen pemain itu.

"Dia gembira. Dia sentiasa sangat gembira," katanya.

"Sudah tentu setiap pemain mempunyai sasaran dan inginkan cabaran baru. Sebelum berdepan Arsenal, saya berkata dia dalam keadaan minda yang bagus, sebab itu saya senaraikannya.

"Dia merupakan pemain penting buat kami. Kami sangat menghargainya. Kualiti yang dimiliki tetap ada dan penting buat pasukan. Dia gembira.

"Sama ada dia bermain atau tidak, ia bukan disebabkan kontraknya berbaki setahun atau kurang. Keputusan sentiasa berdasarkan prestasi. Kami fikir dia dalam keadaan terbaik untuk bersaing."

Menentang The Gunners, Eriksen berada dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol ketika seri 2-2.

Dia bakal memainkan peranan utama selepas tempoh rehat antarabangsa tatkala rakan sepasukan, Giovani Lo Celso, direhatkan sehingga penghujung Oktober akibat kecederaan.

Bintang Argentina itu mengalamai masalah pinggul ketika aksi persahabatan berdepan Chile di Amerika Syarikat, di mana itu adalah kali pertama dia berada dalam kesebelasan utama buat kelab dan negara.

Spurs berhati-hati dalam mendapatkan pemain itu secara pinjaman selepas penglibatannya dalam saingan Copa America tetapi Pochettino tidak mahu mengkritik Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

"Realitinya, kami semua kecewa," tambahnya.

"Pertama, skuad kebangsaan Argentina. Kami sangat sedih.

"Kami tidak boleh mengubah situasi. Sebab itu penting untuk memiliki hubungan dengan pasukan kebangsaan. Tiada siapa boleh dipersalahkan.

"Ia tidak bagus untuk pemain dan keutamaan kami sentiasa mahu mengelak masalah."

Spurs dijangka kembali menerima sentuhan Tanguy Ndombele menjelang aksi menentang Crystal Palace, esok tetapi Davinson Sanchez belum pasti diturunkan kerana masalah pada bahagian buku lali.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen