Christian Eriksen menyertai Inter daripada Tottenham dengan yuran dilaporkan bernilai €20 juta (RM90.0j).

Eriksen, 27, tiba di Milan semalam untuk ujian perubatan dan menandatangani kontrak yang bertahan hingga 30 Jun 2024, umum kelab Serie A itu sejurus proses berkenaan selesai malam tadi.

Pemain antarabangsa Denmark itu beraksi selama enam setengah tahun bersama Spurs tetapi dengan kontraknya yang akan tamat penghujung musim ini, dia sememangnya sudah lama dijangka akan berhijrah.

Walaupun dikaitkan dengan Manchester United dan Real Madrid, Inter berjaya meyakinkan pemain tengah itu untuk ke San Siro.

Dalam satu kenyataan, yang turut mengumumkan perjanjian tetap melibatkan Giovani Lo Celso, Spurs berkata: "Kelab ini mengesahkan telah melepaskan Christian Eriksen setelah mencapai kesepakatan dengan Inter Milan bagi perpindahan pemain Denmark tersebut.

"Dia telah membuat 305 penampilan dan menghasilkan 69 gol untuk kami sejak berkelana dari Ajax pada Ogos 2013.

"Kami mengucapkannya semoga berjaya pada masa depan."

Berikutan masa depannya yang menjadi tanda tanya, Eriksen telah menghabiskan tempoh yang tidak menentu sepanjang bahagian pertama musim ini bersama kelab London itu -- membuat 20 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pemain utama dan gantian.

Prestasinya terkesan dan merudum apabila hanya mengumpulkan dua jaringan dan dua bantuan gol dalam 20 pertandingan.

Peminat mula mengkritiknya persembahannya sejak kebelakangan ini sambil pengurus Spurs, Jose Mourinho, minggu lalu mengakui bahawa anak buahnya itu gagal memperagakan sentuhan terbaiknya biarpun komitmennya dalam latihan kekal positif.

Prestasi itu, bagaimanapun, tidak memudarkan minat Inter, yang amat berharap kehadirannya mampu melonjakkan usaha mereka dalam perebutan gelaran Serie A susulan mula tercicir di belakang Juventus akhir-akhir ini.

Barisan kendalian Antonio Conte itu kini tiga mata di belakang pendahulu liga berkenaan berikutan tiga aksi seri berturut-turut dan yang terbaru diikat 1-1 oleh Cagliari di laman sendiri hujung minggu lalu.

Eriksen merupakan pemain ketiga yang ditandatangani kelab gergasi Itali itu bulan ini setelah mengikat Ashley Young serta Victor Moses daripada Manchester United dan Chelsea yang menyaksikan ketiga-tiga mereka pernah mewarnai saingan EPL.



Editor: Shaiful Shamsudin