England belum bersedia guna VAR -- Sarri

Oleh Staff Writer 12 Januari 2019 317
England belum bersedia guna VAR -- Sarri
Maurizio Sarri mendakwa pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) "belum bersedia" untuk video bantuan pengadil (VAR) dan tidak percaya sistem tersebut harus diperkenalkan.

VAR tidak membantu Chelsea ketika tewas dalam aksi pertama separuh akhir Piala EFL kepada Tottenham, Selasa lalu, ketika teknologi itu digunakan untuk memberikan sepakan penalti kepada Harry Kane.

Kane terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid di Wembley sebelum dijatuhkan oleh penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, tetapi pengadil, Michael Oliver, mengubah keputusan itu setelah merujuk kepada VAR.

Pengadil yang ditugaskan untuk menggunakan VAR adalah Chris Kavanagh -- yang bakal mengadili pertembungan Chelsea dan Newcastle United malam ini -- dan Sarri menegaskan beliau tidak menyalahkan pegawai perlawanan, cuma tidak yakin sistem itu harus diperkenalkan bermula musim depan.

"Pengadil bukan masalah tetapi mereka belum bersedia untuk menggunakan sistem VAR," kata Sarri.

"Jika anda melihat perlawanan tersebut, penjaga garisan mengikut pergerakan pemain dan lawan kami sudah berada di kedudukan ofsaid.

"Tetapi ini merupakan perkara yang biasa. Mereka menggunakan sistem ini buat kali pertama dalam Piala EFL jadi mereka perlu membiasakan diri sebelum ia digunakan sepenuhnya musim depan.

"Saya tidak gemar dengan sistem ini tetapi ia sekadar pandangan kerana ia mengubah suasana dalam stadium. Anda telah menjaringkan gol tetapi perlu menunggu selama 30 saat untuk meraikannya.

"Saya telah biasa menggunakan sistem ini kerana di Itali, mereka telah menggunakannya sejak tiga tahun lalu. Saya kurang gemar menggunakan sistem ini kerana lebih selesa dengan cara di England."

Chelsea mempamerkan sudut yang berbeza dalam situasi ketika sepakan penalti diberikan kepada Spurs yang menunjukkan Kane beada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, Sarri mengakui Chelsea tidak boleh menggunakan alasan teknologi di atas kekalahan yang dialami, sebaliknya memberikan tumpuan kepada persembahan mereka sendiri.

"Ia adalah satu kesilapan tetapi bukan perkara yang paling penting.

"Kami bercakap mengenai 10 saat daripada perlawanan tetapi perlu juga mengutamakan baki 89 minit waktu permainan. Chelsea perlu memberikan tumpuan kepada corak permainan dan mencari jalan untuk bangkit selepas ini," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen