Sewaktu Cardiff City dan Nantes berdebat sama ada Emiliano Sala akan dibenarkan bermain satu perlawanan terakhir buat kelab Perancis itu bulan lalu, tiada siapa menjangkakan satu putaran perubahan yang akan membuat perkara itu kini dirasakan terlalu remeh.

Ketika rundingan di antara kedua-dua kelab terbabit, Nantes dilaporkan mahu Sala beraksi buat kali terakhir untuk mereka menentang Angers sebelum angkat kaki.

Kesudahannya Cardiff yang memenangi tuntutan mereka yang menyaksikan perpindahan pemain Argentina berkenaan dengan yuran rekod kelab ke ibu kota Wales itu dimuktamadkan sehari sebelum perlawanan tersebut.

Ia adalah satu cerita yang lazim dalam jendela perpindahan Januari – sebuah kelab pembeli yang mahu memperkukuhkan pasukan pada pertengahan musim tapi berdepan kedegilan kelab penjual yang tidak mahu terkapai-kapai gara-gara kehilangan salah seorang tonggak utamanya.

Malah, ia bukan pun sesuatu yang luar biasa sehingga sebuah pesawat ringan Piper Malibu yang menerbangkan Sala dari barat Perancis ke Wales hilang ketika melintasi Selat Inggeris pada malam 21 Januari lalu.

Menyusuli satu operasi mencari yang meliputi kira-kira 1,700 batu persegi di sekitar Kepulauan Channel, satu kenyataan Polis Guernsey daripada Syahbandar, Kapten David Barker, mengesahkan gerakan mencari dan menyelamat diberhentikan selepas gagal menemui sebarang kesan daripada pesawat malang itu, juruterbang mahupun penumpangnya.

Pada peringkat itu, peluang untuk kedua-duanya ditemui masih hidup dianggap terlalu tipis.
Luahan kesedihan dan simpati mencurah-curah merentasi segenap komuniti bola sepak, dengan sebilangan ikon bola sepak berprofil tinggi dan peminat amnya menyahut rayuan keluarga Sala untuk membiayai satu gerakan mencari secara persendirian.

Operasi itu kemudian menemui bangkai pesawat berkenaan di dasar laut berdekatan Guernsey, disusuli langkah mengeluarkan satu mayat daripadanya yang diumumkan polis dikenal pasti sebagai Sala pada lewat semalam.

Karier profesional Sala bermula di Proyecto Crecer di negara asalnya, Argentina – sebuah akademi belia ynang mempunyai pertalian dengan kelab Ligue 1 Perancis, Bordeaux, yang mengenal pasti bakatnya dan membawanya ke Eropah pada 2012.

Walaupun tempohnya di Bordeaux menuntut kesabaran – Sala hanya melakukan 11 penampilan liga buat kelab itu sepanjang tiga tahun – tempoh pinjaman di Orleans, Niort and Caen menawarkannya platform untuk menyerlahkan keupayaannya.

Sembilan belas gol dalam 37 perlawanan di pasukan divisyen tiga, Orleans, 18 gol dalam 37 perlawanan liga bersama kelab divisyen dua, Niort, dan kemudiannya lima gol dalam 13 perlawanan bersama Caen – satu tempoh yang menyaksikan dia bermain bersama N'Golo Kante and Thomas Lemar – meyakinkan Nantes untuk membawanya ke Stade de la Beaujoire dengan kontrak lima tahun pada 2015 setelah membayar €1million (RM4.62 juta) untuk khidmatnya.

Sala segera mengesahkan tempat kesebelasan utama bersama Nantes dan menyumbat sejumlah 42 gol dalam tiga setengah musim bersama kelab Ligue 1 itu.

Musim ini pula menyaksikan dia menyumbat 12 kali dalam 19 perlawanan, yang meyakinkan Cardiff bahawa Sala adalah pemain yang dapat membantu mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.

Namun, ia sesuatu yang amat tragis kerana dia tidak sempat memperagakan bakat besarnya buat sebuah kelab dan sebuah kejohanan yang kini meratapi pemergiannya.