Pengurus Arsenal, Unai Emery, mengakui dia terkejut dengan keputusan Tottenham Hotspur memecat Mauricio Pochettino dan melantik Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih baru.

Semalam, Mourinho, bekas pengurus Chelsea, Real Madrid dan Manchester United, menandantangani kontrak selama tiga tahun enam bulan bersama Spurs, hanya beberapa jam selepas pemecatan Pochettino disahkan.

Emery terkejut dengan berita tersebut tatkala dia berpendapat Pochettino menguruskan Spurs dengan sempurna dan dalam masa sama, pengendali dari Sepanyol itu tidak pasti apa langkah Mourinho untuk mengubah nasib Tottenham.

"Ya, ia satu kejutan," katanya.

"Saya fikir ia mengejutkan jika melihat cara Pochettino tamat tetapi saya tidak tahu apa puncanya. Saya juga tidak nampak bagaimana Mourinho akan mengubah prestasi mereka.

"Mourinho seorang pengurus yang bagus. Kariernya sangat hebat dengan deretan kejuaraan dan pengalaman. Saya juga fikir hasil kerja Pochettino sangat mengagumkan.

"Dalam bola sepak, segalanya begitu pantas. Keputusan akhir mungkin lebih penting berbanding proses jangka panjang kerana saya fikir Spurs begitu bagus bersama Pochettino.

"Mungkin dalam beberapa aksi terakhir, mereka gagal mencapai keputusan bagus tetapi saya fikir secara keseluruhan, Spurs di bawah bimbingan Pochettino adalah sempurna. Kini, mereka membuat keputusan untuk melakukan perubahan, saya tidak tahu apa punca sebenar tetapi mereka mempunyai laluan sendiri.

"Ketika ini, kami menjarakkan kedudukan dalam carta liga dan mahu mengekalkan kelebihan itu dalam perlawanan seterusnya."