ARSENAL 2 CRYSTAL PALACE 3

Unai Emery mengingatkan pengkritiknya bahawa harapan Arsenal untuk meraih tiket Liga Juara-Juara (UCL) masih berada di tangan mereka meskipun tumbang 2-3 kepada Crystal Palace, awal pagi tadi.


Arsenal tersungkur di tempat sendiri buat julung kalinya sejak kali terakhir, Ogos lalu, dan benteng goyah sekali lagi menjadi faktor utama.

Selepas Mesut Ozil membatalkan gol pembukaan Christian Benteke, Palace kembali mendahului dengan dua gol dalam tempoh lama minit babak kedua manakala sentuhan penyudah Pierre-Emerick Aubameyang selepas itu tidak lebih daripada sekadar jaringan sagu hati.

Sekiranya menang, The Gunners akan melonjak ke tangga ketiga dan dua mata dipisahkan dengan Tottenham.

Bagaimanapun, Emery menegaskan Arsenal masih boleh menentukan nasib sendiri meskipun melepaskan peluang keemasan untuk meningkatkan harapan mereka ke UCL.

"Ia satu kekecewaan besar, ia adalah satu peluang yang besar," katanya.

"Begitupun, kami boleh mengatakan bahawa kami juga mempunyai peluang terhidang dalam perlawanan sebelum ini dan kami juga meraih mata dalam banyak detik penting sehingga memberikan kami peluang dalam situasi ketika ini dan untuk itu, kami berpeluang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Matlamat utama kami adalah untuk menjangkau slot UCL melalui Liga Perdana atau Liga Europa. Kami terlepas peluang terhidang tetapi ia tidak akan mengubah idea kami.

"Nasib kami berada di tangan sendiri. Kami akan terus melakar kemenangan dan kekal dalam kelompok empat pasukan teratas."

Masalah mematahkan situasi bola mati kembali menghantui Emery yang menyaksikan Palace membuka jaringan menerusi tendangan bebas yang ditanduk masuk James McArthur sementara gol Wilfried Zaha pula disebabkan oleh kesilapan Shkodran Mustafi.

Emery mengakui situasi bola mati membuktikan pasukannya sukar mengatasi rintangan tersebut.

"Jika kami bertahan lebih baik dalam situasi bola mati, mungkin kami boleh memenangi perlawanan ini," katanya.

"Sepanjang musim ini, saya fikir masalah itu kerap mendatangkan masalah buat kami. Mereka mempunyai pemain yang bagus dan musim ini pula kami kurang mantap bertahan dalam bola pegun. Kami bergelut dalam situasi ini dan ia tidak seperti yang kami harapkan.

"Hari seperti ini boleh berlaku. Cardiff mempunyai pemain yang sangat bagus dan pengurus berpengalaman, mereka menang di Manchester City, Newcastle dan Leicester."