MANCHESTER UNITED 1 ARSENAL 1

Unai Emery bersedia untuk memandang positif keputusan seri Arsenal dengan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford awal pagi tadi, namun menegaskan The Gunners perlu membuktikan lebih daripada itu.


Dalam pertemuan hambar itu, Pierre-Emerick Aubameyang memadamkan jaringan pembukaan Scott McTominay untuk memastikan pasukannya membawa pulang satu mata.

Satu mata itu membawa Arsenal kembali ke kelompok empat teratas, namun Emery berasakan pasukannya perlu meningkat jika mahu mencabar tempat Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Bagaimanapun, prestasi yang dipamerkan Bukayo Saka -- yang membantu jaringan Aubameyang -- memberikan satu nilai tambah buat Emery sambil bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) itu percaya pasukannya telah menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Saya mahu lebih -- lebih daripada segi keputusan dan prestasi tetapi kami sedang meningkat," katanya kepada BBC Sport.

"Kami kompetitif tetapi kami boleh melakukannya dengan lebih baik.

"Kami mengawal bola dengan baik dan mempunyai lebih peluang dalam kotak penalti.

"Kami memiliki pemain muda yang sudah mula yakin.

"Bukayo semakin meningkat tetapi kami memerlukan pemain lain juga.

"Ia bukanlah keputusan terbaik daripada segi mata tetapi satu mata ini akan menjadi baik sekiranya kami meraih kemenangan ketika menentang Bournemouth, Ahad depan," katanya.

Jaringan penyamaan Aubameyang menjadikan penyerang Gabon itu sebagai pemain Arsenal pertama menjaringkan tujuh gol daripada tujuh perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris selepas Dennis Bergkamp melakukannya dalam musim 1997-98.

Namun, Emery mengakui Arsenal memerlukan langkah berbeza untuk membantu Aubameyang, yang mengambil tanggungjawab selaku penyerang tunggal selepas Alexandre Lacazette dilanda kecederaan.

"Aubameyang amat penting buat kami.

"Dia amat komited dengan kerjanya.

"Dia gembira dan kami juga gembira.

"Kami memerlukan lebih ramai pemain yang berkemampuan untuk menjaringkan gol," tambahnya.