Pengurus Arsenal, Unai Emery, berjanji bahawa Bernd Leno akan meraih lebih banyak peluang untuk memikatnya selepas penjaga gol itu menyuarakan rasa kurang senang akibat kekurangan waktu bermain.

Selepas melengkapkan perpindahan daripada Bayer Leverkusen pada Julai lalu, Leno hanya melakukan penampilan pertama buat Arsenal sewaktu The Gunners menewaskan Voskla 4-2 dalam aksi Liga Europa.

Walaupun banyak pihak menjangkakan penjaga gol Jerman itu akan mengetepikan cabaran Petr Cech selaku pilihan utama, Emery jelas memilih untuk menggunakan khidmat pemain berusia 36 tahun itu.

Cech mengekalkan tempatnya walaupun melalui permulaan musim yang kurang baik selepas dia dikatakan tidak sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Emery, iaitu melancarkan gerakan dari bawah tatkala ia menjadi kebiasaan buat Leno ketika di Leverkusen.

Selepas aksi Liga Europa pada awal pagi semalam, Leno mendedahkan dia berharap dapat beraksi selaku penjaga gol utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris setiap minggu.

Walaupun Emery tidak mampu memenuhi kehendaknya, pengendali itu tetap menegaskan peluang akan tiba buat penjaga gol berusia 26 tahun itu.

"Apabila anda memulakan aksi pra-musim, anda memiliki 25 pemain dan memerlukan semangat daripada mereka, tidak kira pemain muda atau tua," kata Emery.

"Pengalaman yang mereka miliki sangat penting, terutama dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kerana ia sangat sukar.

"Kami juga memiliki kemungkinan untuk memberi mereka peluang terus berkembang serta mempamerkan prestasi terbaik, tidak kira ketika perlawanan atau sesi latihan.

"Bersama Leno, kami sangat gembira. Dia tampil buat pertama kali dalam kesebelasan utama dan kami harus terus memberikannya peluang serta keyakinan untuk diterjemah ke dalam pasukan," jelasnya.

Bagaimanapun, dalam masa sama, Emery tetap menegaskan dia masih belum membuat keputusan mengenai pemain yang akan membarisi kesebelasan utamanya secara tetap.

"Idea saya dalam setiap perlawanan akan hadir beberapa jam sebelum beraksi dan saya terus memberitahu pemain-pemain.

"Buat masa ini, keutamaan kami adalah prestasi terbaik dan kami bercakap kepada semua pemain, termasuk situasi tentang penjaga gol. Kami menerangkan situasi itu dan terus bekerjasama dalam setiap perlawanan untuk mendapatkan keputusan yang bagus."