ARSENAL 1 BRIGHTON & HOVE ALBION 1

Unai Emery berjanji Arsenal akan memaparkan lebih kekuatan mental ketika menentang Valencia dalam separuh akhir kedua Liga Europa berbanding ketika diikat 1-1 oleh Brighton and Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi.


Impian Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan menamatkan musim dalam kelompok empat teratas semakin ke penghujung selepas Glenn Murray memadamkan jaringan awal Pierre-Emerick Aubameyang.

Skuad kendalian Emery itu ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur, yang tewas 0-1 kepada Bournemouth, awal pagi semalam.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu, bagaimanapun, memiliki rekod perbezaan jaringan yang jauh lebih baik berbanding Arsenal menjelang perlawanan terakhir liga, hujung minggu ini.

Arsenal akan layak ke Liga Juara-Juara Eropah andai menjuarai Liga Europa dengan mereka kini membawa kelebihan gol 3-1 menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Valencia, awal pagi Jumaat ini, dan Emery berjanji pasukannya akan memberikan aksi terbaik.

"Kami sedang merancang untuk terus memanfaatkan peluang ketika berdepan Burnley minggu depan, namun kami seri hari ini," katanya dalam sidang media.

"Kami sedar yang mereka (Brighton) sangat tersusun dan kuat ketika bertahan, jadi kuncinya adalah untuk mencari jaringan kedua.

"Kami mencuba untuk melakukannya, namun mereka berjaya bangkit.

"Kami tetap mencuba untuk menjaringkan gol kedua, namun pertahanan mereka beraksi dengan amat baik dan penjaga gol mereka juga memaparkan aksi menyelamat yang hebat.

"Saya fikir kami sudah berusaha dan mencuba, namun tidak memperoleh keputusan yang mampu menentukan nasib kami minggu depan.

"Kini, sasaran kami adalah untuk menjadi lebih kuat dan fokus dalam perlawanan Khamis (awal pagi Jumaat) ini.

"Kami akan menjadi pasukan yang lebih kuat daripada segi mental untuk menghadapi perlawanan itu.

"Dan kami akan memberikan persembahan secara individu dan kolektif terbaik dalam perlawanan terakhir, iaitu menentang Burnley.

"Saya berasakan yang kami sudah boleh untuk bercakap mengenai isu dan situasi berbeza dalam musim ini, namun adalah lebih baik untuk memberikan fokus terhadap perlawanan dengan Valencia terlebih dahulu.

"Kami juga akan melakukan analisis.

"Sasaran kami adalah untuk meraihnya melalui Liga Perdana, namun kami tidak berada di kedudukan yang kami inginkan.

"Tetapi saya berasakan yang kami telah mencuba untuk meraih kemenangan, hari ini.

"Kami berasa amat baik untuk berada di sini dengan sokongan padu penyokong, namun kami gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir dengan Crystal Palace (tewas 2-3) dan Brighton.

"Saya berasakan yang kami sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik dalam dua perlawanan itu," katanya.

Emery mengakui banyak yang perlu dilakukan pasukannya andai mahu menyaingi seteru seperti Manchester City dan Liverpool.

"Buat masa ini, untuk kami dan untuk saya, kami sudah berbincang dengan pemain.

"Liga Perdana merupakan pertandingan terbaik untuk memberikan kami keteraturan dan ketekalan.

"Jika kami 27 mata di belakang pendahulu, itulah perbezaannya.

"Namun, kami akan berusaha keras dan membina kembali masa depan kami.

"Tahun ini juga tentang pembelajaran dan membina pasukan dengan cara kami.

"Cara kami pada masa depan untuk memastikan jurang di dalam carta liga tidak jauh dengan pasukan-pasukan itu.

"Kami terlalu hampir dengan Chelsea dan Tottenham, namun terlalu jauh dengan Manchester City dan Liverpool.

"Tugas kami kini adalah untuk mengurangkan perbezaan itu," tambahnya.