Pengurus Arsenal, Unai Emery, mengakui tugas sukar menanti pasukannya untuk menamatkan musim ini di kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris.

Arsenal kini di tangga keenam liga menjelang pertemuan dengan pasukan di tangga tercorot, Huddersfield Town, di Yorkshire Barat, malam ini.

Mereka tewas dalam dua daripada empat perlawanan terakhir untuk ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, selepas 25 perlawanan.

Emery sedar pasukannya kini berdepan tugas sukar untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

"Terdapat pasukan yang lebih baik daripada kami," katanya.

"Adakah kami sudah terkeluar daripada perebutan kedudukan empat terbaik? Ya, kami kini di tangga keenam. Itu adalah realiti.

"Kami masih yakin untuk menamatkan musim di kelompok empat terbaik walaupun ia sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

"Terdapat jurang besar di antara kami dan pasukan tiga terbaik (Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspur) dan kami lebih hampir untuk mengejar Chelsea dan Manchester United.

"Jurang terhadap tiga pasukan teratas itu sememangnya besar, namun bagaimana pula dengan dua yang lain?

"Kemungkinan untuk kami mengejar mereka masih ada kerana kami hanya tiga mata di belakang Chelsea dan satu mata di belakang United.

"Kami perlu mempunyai keyakinan untuk melakukannya," katanya lagi.