BURNLEY 2 FULHAM 1

Sean Dyche lega selepas Burnley memanfaatkan peluang ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Fulham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Burnley kini memiliki kelebihan tiga mata daripada zon penyingkiran saingan EPL menerusi kemenangan yang diraih di Turf Moor.

Andre Schurrle memberikan gol pendahulu buat Fulham dan dua minit kemudian, Burnley bangkit menerusi dua jaringan sendiri pasukan lawan.

Jeff Hendrick bertindak selaku perancang buat kedua-dua jaringan -- rembatannya terkena Joe Bryan buat jaringan pertama sebelum Denis Odoi menanduk masuk hantaran pemain kebangsaan Republik Ireland itu mengatasi penjaga gol, Sergio Rico.

Di sebalik gagal memiliki sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan, Dyche tetap berpuas hati dengan kemenangan yang dilakar.

"Saya sangat gembira, pemain-pemain yang bekerja keras untuk perlawanan ini," kata Dyche.

"Terdapat beberapa ketika kami gagal bermain dengan baik tetapi halangan yang dilakukan oleh James Tarkowski memastikan kami kekal dalam permainan dan ia telah mengubah keputusan memihak kepada kami.

"Buat masa ini, saya tidak berminat untuk menjual mana-mana pemain. Saya percaya dengan kebolehan mereka. Kami agak bertuah apabila meraih kemenangan menerusi jaringan sendiri lawan," ujarnya.

Pertahanan Fulham, Tim Ream, menganggap Burnley bertuah meraih kemenangan dalam perlawanan itu.

"Kami sangat kecewa," kata Ream. "Fulham bermula dengan baik tetapi gagal mengawal rentak permainan.

"Dalam babak kedua, tuah tidak memihak kami apabila gagal mencetak jaringan penyamaan.

"Burnley sangat bertuah untuk meraih kemenangan kerana jaringan sendiri merupakan peluang terbaik mereka dalam perlawanan ini."