Dua gol Milner bantu Liverpool benam Bradford City

Oleh Staff Writer 15 Julai 2019 2322
Dua gol Milner bantu Liverpool benam Bradford City
James Milner meledak dua gol untuk Liverpool menang 3-1 di Bradford City dalam aksi persahabatan pra-musim, semalam. 

Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Jordan Henderson antara pemain yang tidak diturunkan menjelang lawatan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke Amerika Syarikat (AS).

Situasi tersebut memberi peluang kepada pemain tengah itu untuk menonjolkan kemampuannya dalam perlawanan amal yang bertujuan mengumpulkan dana untuk badan pertubuhan yang diasaskan bekas pemain Liverpool dan Bradford, Stephen Darby, yang dikesan menghidapi penyakit saraf otak, September lalu.

Bekas pemain England itu terlebih dahulu membuka jaringan dengan rembatan yang terkena kepala James Vaughan sebelum menyempurnakan sepakan penalti selepas Ryan Kent dijatuhkan. 

Rhian Brewster kemudian menyumbat gol ketiga dari sudut sukar sebelum Jurgen Klopp melakukan 10 perubahan selepas separuh masa pertama dengan hanya penjaga gol, Simon Mignolet, dikekalkan.

Bradford mencetak gol sagu hati pada lewat permainan susulan sepakan penalti pemain gantian, Eoin Doyle, selepas pemain remaja, Adam Lewis, dikasari Clayton Donaldson.

The Reds, yang membelasah Tranmere Rovers 6-0 Jumaat lalu, bakal menghadapi Borussia Dortmund di Indiana, AS (pagi Sabtu ini) yang mungkin memperlihatkan beberapa pemain utama diturunkan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen