Eric Dier disisihkan dalam jelajah pra-musim Tottenham ke Singapura dan Shanghai, China, berikutan pembedahan yang dijalaninya ekoran kecederaan yang tidak didedahkan secara khusus.

Pemain England itu, yang tampil dalam kemenangan penentuan penalti skuad Three Lions di Switzerland untuk meraih tempat ketiga kempen Liga Negara-Negara Eropah, awal bulan lalu, berharap dapat memainkan peranan besar dalam persiapan Tottenham untuk menghadapi musim 2019-20.

Begitupun, kelab berkenaan mengesahkan di sebalik kejayaan pembedahan itu, pemain tengah berusia 25 tahun itu tidak akan mengikuti rombongan skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu dalam lawatan ke Singapura dan Shanghai untuk menentang Juventus dan Manchester United.

Dier dibelenggu masalah pangkal paha dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila hanya memulakan 18 daripada 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2018-19.

Sebelum musim lalu, dia terbabit sekurang-kurangnya dalam 30 perlawanan liga sepanjang tiga musim, justeru Pochettino berharap pemain itu akan kembali dengan kecergasan tinggi menjelang aksi pembukaan kempen bertemu Aston Villa pada 10 Ogos.

Satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu menyebut: "Eric Dier menjalani prosedur perubatan untuk membetulkan masalah yang dikesan ketika melakukan penilaian perubatan pada hari pertama latihan pra-musim.

"Selepas menjalani pembedahan, Eric akan menjalani tempoh pemulihan yang singkat. Oleh itu, dia tidak akan mengikuti rombongan lawatan pra-musim kelab ke Singapura dan Shanghai."