Marcus Rashford seorang pemain yang unik, kebolehannya untuk memaparkan ketajaman menjadikan dia seorang yang tidak dapat dihalang sewaktu menyerang, kata pemain tengah Manchester United, Ander Herrera.

Penyerang kebangsaan England itu semakin menyinar di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dengan menjaringkan enam gol dalam 10 penampilan terakhir.

Pemain berusia 21 tahun itu meraih anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris bagi bulan Januari dan dilaporkan sedang dalam proses perbincangan kontrak jangka panjang.

Herrera merupakan pemain utama United sejak pelantikan Solskjaer sebagai pengurus sementara.

Dia dapat melihat secara dekat perkembangan yang dilalui Rashford dan percaya pemain itu mampu menjadi penyerang terbilang.

"Dia amat berbeza," katanya kepada ESPN.

"Kita semua tahu terdapat beberapa pemain sayap yang amat hebat dalam bola sepak moden seperti Ousmane Dembele, Raheem Sterling, Anthony Martial dan Eden Hazard.

"Namun, saya berasakan Marcus berbeza berbanding mereka.

"Marcus mampu merembat kencang, mampu menghadapi situasi satu lawan satu dan memiliki kualiti untuk bergabung dan tidak kehilangan bola buat pasukan.

"Saya tidak rasakan ada pemain lain seperti Marcus Rashford. Saya berasakan dia seorang pemain terbilang.

"Namun, saya yakin dia akan meningkatkan tahap pemikirannya dalam permainan dan menjadi penyerang yang tidak mampu untuk dihalang," katanya.

Seperti Rashford, Paul Pogba juga kelihatan seperti menghargai pemergian Jose Mourinho.

Bintang Perancis itu kini lebih bersemangat untuk menikmati aksi-aksi hebat yang dikembalikan di Old Trafford.

Rakan gandingannya di bahagian tengah, Herrera, sedia mengabdikan dirinya bersama pemain tengah bertahan, Nemanja Matic, untuk terus memberikan platform buat Pogba memaparkan kemahiran luar biasa yang dimiliki pemain itu.

"Saya berasakan dia seorang pemain yang istimewa dan kami perlu memberikannya lebih kebebasan untuk beraksi.

"Apabila dia berasa bebas, dia akan menunjukkan prestasi terbaik.

"Saya selalu memberitahunya bahawa jika dia bermain mudah di bahagian kami, dia akan dapat melakukan sesuatu yang luar biasa untuk membantu kami memenangi perlawanan.

"Itu yang membuatkannya mampu untuk beraksi baik.

"Kami perlu membiarkan dia beraksi bebas dan ada kalanya perlu bersedia untuk membantunya.

"Saya yakin Nemanja tahu tentang perkara itu.

"Apabila kami mendapat bola atau mencuri bola daripada pihak lawan, kami hanya perlu menghantar kepadanya," tambahnya.