Legenda Liverpool, Kanny Dalglish, menepis dakwaan bahawa Jurgen Klopp sedang berada dalam tekanan tinggi sambil menegaskan pengurus The Reds itu mampu untuk berhadapan dengan keinginan penyokong pasukan itu.

Dua keputusan seri berturut-turut dengan Leicester City dan West Ham United menyaksikan penguasaan Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris hilang selepas juara bertahan, Manchester City, kembali ke kedudukan teratas setelah membenam Everton 2-0, Rabu lalu.

Liverpool kendalian Klopp, yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, mampu untuk kembali menduduki tangga teratas liga andai mereka dapat menumpaskan Bournemouth di Anfield, malam ini.

Di sebalik kesangsian terhadap kemampuan Klopp dan Liverpool untuk menangani tekanan yang dihadapi mereka ketika ini, bekas pemain dan pengurus The Reds, Dalglish, menyokong penuh usaha yang dilakukan pengendali kelahiran Jerman itu untuk menamatkan penantian mahkota kejuaraan liga divisyen utama pasukan itu yang kali terakhir dimenangi pada 1990.

"Dia pasti akan memenangi Anugerah Akademi kerana saya tidak dapat melihatnya. Bila pula Anugerah Oscar?" kata Dalglish mengulas mengenai tanda-tanda kegugupan yang ditunjukkan Klopp.

"Bagi saya, Jurgen merupakan individu terbaik untuk melaksanakan tugas itu.

"Tidak ada masalah untuk berasa gugup. Ia sesuatu yang normal.

"Dia tidak sepatutnya malu untuk berasa gugup.

"Takut perkara buruk terjadi? Apakah perkara buruk itu?

"Bagi saya perkara terburuk adalah tersingkir daripada Liga Perdana.

"Saya tidak kisah apa yang sedang berlaku dalam musim ini.

"Jika anda menumpukan kepada sesuatu perlawanan, anda akan berasa gugup.

"Ia adalah sebahagian daripada bola sepak.

"Ia bukan sesuatu yang perlu digusarkan.

"Ia sudah 29 tahun semenjak kami memenangi kejuaraan liga.

"Ia sudah lama ditunggu dan jika penyokong berasa gemuruh, ia sudah pasti.

"Namun, itu tidak akan menghalang mereka untuk terus menyokong pasukan.

"Setiap orang pasti akan berasa gugup.

"Saya gugup ketika permulaan musim, jadi saya tidak tahu adakah ia memberikan kesan," katanya.