Mousa Dembele menyempurnakan perpindahannya dari Tottenham ke kelab Liga Super China, Guangzhou R&F.

Dembele menyertai kelab barunya itu dengan kontrak tiga tahun dan Spurs dilaporkan menerima pampasan £11 juta (RM58.7j).

Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyertai Tottenham pada 2012 selepas mengharungi dua musim yang mengagumkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Fulham yang berjaya menukar peranannya daripada penggempur kepada pemain tengah.

Walaupun tidak produktif daripada segi jaringan atau bantuan gol di Spurs, Dembele memainkan peranan penting ketika bersama kelab utara London itu dan sangat dihormati peminat.

Kemahirannya melakukan gelecekan dan keupayaan kawalan bolanya dikagumi penyokong sehingga menjadikannya pilihan yang menarik di bahagian tengah, baik ketika Spurs dikendalikan Mauricio Pochettino, Tim Sherwood mahupun Andre Villas-Boas.

Namun, dia sering bergelut dengan masalah kecederaan dan faktor itu menjadi alasan kepada pemain Belgium tersebut untuk berhijrah kerana berasakan fizikalnya sudah tidak lagi mampu menampung corak permainan dalam EPL.

Setelah beberapa minggu dikaitkan dengan perpindahan, China menjadi destinasi pilihannya, sekali gus mengikuti jejak rakan sepasukan di peringkat antarabangsa, Yannick Carrasco, yang menyertai Dalian Yifang tahun lalu.

Biarpun perpindahan itu dimuktamadkan segera, Dembele gembira kerana dapat meninggalkan Tottenham dengan cara yang baik.

"Saya berasakan Spurs seperti keluarga saya," katanya kepada laman sesawang rasmi Spurs. "Ia amat istimewa, Spurs sering memberi layanan adil kepada saya untuk menikmati pengalaman yang baik.

"Saya pergi dengan perasaan yang berat dan sayang terhadap kelab ini. Selepas sekian lama mewakili kelab ini, perasaan sayang wujud terhadap kelab tetapi kadang-kadang anda berpisah dengan cara yang buruk dan saya tidak berasakan seperti itu.

"Bahkan, semua orang sangat positif dengan saya termasuk penyokong. Mereka mendoakan kejayaan dan kebahagiaan saya. Kelab ini adalah sebahagian daripada keluarga saya, 100 peratus."