Fabian Delph menghamburkan pujian terhadap pengurus Manchester City, Pep Guardiola, kerana membantunya mencapai prestasi terbaik untuk menghadapi Piala Dunia Russia, dengan berkata: "Dia telah mencipta semula saya."

Pemain berusia 28 tahun itu merupakan pemain terbaik ketika skuad Three Lions mengalahkan Costa Rica 2-0 dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum terbang ke Russia dan dia mendedahkan bagaimana visi bola sepak Guardiola telah mengubah pendekatan permainannya.

Setelah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai pemain tengah, Delph diletakkan di posisi pertahanan sebanyak 22 kali di bawah pengurus kelahiran Catalan itu.

"Dia hebat. Bagi saya, dia seorang genius," kata Delph kepada pemberita. "Dia telah membuka mata saya, saya tidak dapat menggambarkan bola sepak seperti Pep, dia melukisnya untuk saya.

"Saya memiliki kekuatan mental dan saya tahu jika saya mendapat peluang untuk bermain, saya boleh menyumbang dan membantu memenangi permainan.

"Saya seorang lelaki Inggeris yang sangat tradisional, percaya dengan kerja keras dan dedikasi serta mencurahkan segala-galanya. Saya berjuang, merebut bola kedua dan bermain dengan gaya lama Inggeris tetapi dia telah mencipta semula saya.

"Ketika ini, semuanya menjadi tenang dan gemar mengawal permainan. Jika pihak lawan merampas posisi saya, maka saya perlu mencari kedudukan yang berbeza. Kami mempunyai begitu banyak pilihan sistem. Orang kagum dengan apa yang kami lakukan tetapi ia kelihatan sangat mudah. ​"

Delph, yang isterinya dijangka melahirkan anak ketiga dalam beberapa minggu akan datang, berharap untuk melangkaui 11 penampilannya bersama England dengan memainkan peranan utama dalam Piala Dunia di Russia.

Persembahannya kebelakangan ini telah mengukuhkan lagi peluangnya untuk tampil dalam skuad utama Gareth Southgate untuk menghadapi Tunisia pada 18 Jun ini.

Pemain tengah kelahiran Bradford itu juga mengiktiraf rutin peribadi, meditasi dan teknik pernafasan baru untuk membantunya memperbaiki permainannya.

Dia berkata: "Gael Clichy sering melakukan meditasi dan dia mengesyorkannya kepada saya kerana saya pemain yang gemar berlari. Jadi, saya mula menggunakan kaedah itu.

"Saya melakukannya dengan pelbagai cara -- anda boleh melakukan berpandukan situasi, bergantung kepada perasaan anda. Anda boleh mendapatkan pengetahuan ini di YouTube atau aplikasi telefon bimbit.

"Bagi saya, ia hanya teknik pernafasan, belajar untuk tenang untuk mengawal proses pemikiran anda, bukan soal menangani tekanan permainan -- saya selalu ada dalam perlawanan tetapi saya seorang yang berjuang tinggi. Saya sentiasa mahu melakukan lebih banyak lagi dan minda saya berlumba pada 100 mph."

"Saya sentiasa dilatih dengan intensiti gila," katanya. "Saya bekerja keras di gimnasium dan di padang, semuanya tentang usaha mencari keseimbangan, bukannya bersikap terburu-buru seperti yang saya lakukan sebelum ini. Kaedah ini telah menenangkan saya."