Penjaga gol Manchester United, David De Gea, mahu menangguhkan perbincangan mengenai kontrak barunya bersama pasukan sehingga penghujung musim ini.

Pengurus United, Jose Mourinho, baru-baru ini mahu pihak pengurusan agar menawarkan kontrak baru buat penjaga gol Sepanyol itu selepas kontrak sedia ada bakal tamat pada penghujung musim depan walaupun ia boleh dilanjutkan dengan pilihan 12 bulan.

De Gea menjadi buruan utama Real Madrid selama beberapa tahun selepas membuktikan kewibawaannya sejak tiba di Old Trafford pada 2011, namun pemain berusia 27 tahun itu tidak mahu tergesa-gesa dengan sebarang perbincangan.

"Saya tidak rasa ketika ini adalah waktu terbaik untuk bercakap soal masa depan atau kontrak.

"Kami berdepan banyak perlawanan dan apa yang penting adalah memikirkan aksi bertemu Burnley, esok. Kami perlu mengekalkan tumpuan, bekerja keras, bersaing dalam sesi latihan dan terus mengutip mata," kata De Gea.

"Menjadi sebahagian daripada Manchester United membuatkan anda beremosi kerana anda tahu nilai sebenar pasukan kepada penyokong-penyokong serta semua orang yang berada di sini. Setiap kali menyarung jersi, ia menerbitkan rasa bangga dalam diri," tambahnya.

Walaupun United kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, bekas penjaga gol Atletico Madrid itu tetap tidak mahu mengangkat bendera putih bagi mencabar kejuaraan pada musim ini.

"Anda perlu bersikap jujur dan mengatakannya sesuatu yang sukar tetapi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), apa sahaja boleh berlaku.

"Jarak 12 mata adalah satu jurang yang besar tetapi kami akan terus berjuang dalam setiap perlawanan dan mendapatkan seberapa banyak mata yang boleh," tambahnya.