Penjaga gol Manchester United, David de Gea, percaya pasukannya sedang melalui tempoh paling sukar sejak menyertai pasukan itu lapan tahun lalu.

Skuad The Red Devils itu melalui kekalahan ketiga dalam enam aksi Liga Perdana Inggeris semalam selepas tewas 1-0 di tangan Newcastle United di St James Park.

Jaringan babak kedua oleh Matty Longstaff mengesahkan perbezaan di antara dua kelab itu sambil anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu hanya mampu melakukan tiga percubaan tepat.

United, yang hanya menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan terakhir bagi semua kejohanan dan melalui permulaan terburuk liga dalam tempoh 30 tahun, masih gagal mencipta kemenangan di tempat lawan sejak menewaskan Paris Saint-Germain (PSG), Mac lalu.

Sejak aksi di Paris itu, Solsksjaer yang menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu, gagal mencipta kemenangan di luar Manchester dan De Gea melihat ia sebagai tempoh paling sukar selepas beraksi di bawah kendalian David Moyes, Louis van Gaal dan Mourinho.

Ditanya mengenai apa kekurangan dalam persembahan mereka ketika berdepan Newcastle, De Gea memberitahu Sky Sports: "Segalanya. Banyak perkara perlu diperbaiki. Mereka pasukan lebih baik hari ini.

"Saya tidak tahu apa perlu dikatakan. Cuma perlu terus berusaha, berjuang dan meningkatkan prestasi setiap hari. Ia detik sukar buat kami.

"Ia mungkin tempoh paling sukar sejak saya datang ke sini. Saya tidak tahu mengapa dan apa yang berlaku. Kami tidak boleh menjaringkan gol dalam dua perlawanan.

"Sukar untuk mengatakan sesuatu. Maaf kepada peminat. Kami berjuang dan sudah pasti akan bangkit tetapi ketika ini, kami dalam tempoh sukar.

"Kami bertahan dengan baik. Memang benar lawan meraih peluang baik untuk menjaringkan gol tetapi kami dibolosi daripada sepakan sudut. Itu tidak boleh berlaku.

"Ia sukar diterima, bukan hanya perlawanan ini tetapi keseluruhan musim. Terus berjuang dan lihat apa berlaku dalam aksi seterusnya."

United bakal berdepan seteru utama, Liverpool, 20 Oktober ini selepas tamat tempoh rehat antarabangsa.