Kevin De Bruyne menegaskan dia tidak pernah mempertimbangkan untuk berpindah dari Manchester City selepas memeterai kontrak baru selama lima tahun di kelab itu.

Bintang Belgium itu memperbaharui kontraknya di Stadium Etihad sehingga 2023 dan sempat dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid pada akhir musim lalu.

De Bruyne menjadi salah seorang nadi dalam kempen menakjubkan City musim ini untuk menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 12 mata serta layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Sehubungan itu, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan dia berasa selesa di Manchester.

"Saya sangat gembira kerana telah menandatangani perjanjian baru ini," kata De Bruyne kepada CityTV.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, hasrat saya sentiasa berada di City kerana hari demi hari, saya berasakan seperti di tempat sendiri.

"Bukan sahaja kami meraih kemenangan, kami mengetengahkan permainan yang hebat. Saya senang menjadi sebahagian daripadanya dan sangat teruja dengan apa yang kami mampu capai pada tahun-tahun akan datang.

"Anda mendengar ramai orang bercakap tentang kelab lain tetapi pada masa ini, saya fikir kami adalah salah sebuah kelab yang lebih baik di dunia.

"Secara keseluruhannya, kelab ini bekerja sebagai satu unit. Saya tidak pernah menyaksikannya di kelab lain.

"Saya gembira untuk membina pasukan ini," hujahnya.

De Bruyne telah menyumbat lapan gol serta mencipta 13 bantuan gol dalam semua pertandingan musim ini dan dia percaya sedang berada di kemuncak permainan terbaiknya.

"Semua orang melihat perkara yang berbeza, saya fikir saya mempamerkan aksi terbaik tahun ini," katanya.

"Sesetengah orang melihat statistik dan mengatakan tahun terbaik saya adalah di Wolfsburg, ia sudah berakhir.

"Begitupun, saya fikir kami telah bermain -- secara peribadi dan juga dengan pasukan -- di tahap yang tinggi pada tahun ini, ia sukar disaingi oleh mana-mana pasukan pada masa depan."