Manchester City bersedia untuk berjuang tanpa kelibat Kevin De Bruyne selama tiga bulan tetapi pemain tengah Belgium itu disahkan tidak perlu melalui sebarang pembedahan terhadap kecederaan lutut yang dialaminya.

De Bruyne dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan City setelah menjadi watak utama sewaktu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu tetapi kecederaan yang dialaminya tampak memberi tamparan besar buat pasukan kendalian Pep Guardiola itu untuk mempertahankan kejuaraan.

Pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan Rabu lalu dan selepas menemui pakar perubatan di Barcelona, Dr. Ramon Cugat, kelmarin, City mengumumkan keadaannya.

"Manchester City boleh mengesahkan bahawa Kevin De Bruyne mengalami kecederaan lutut bahagian sisi pada kaki sebelah kanan," kata wakil kelab.

"Tiada pembedahan diperlukan dan pemain tengah itu dijangka akan kembali beraksi selepas tiga bulan."

Situasi itu bermakna De Bruyne bakal terlepas aksi berdepan Liverpool pada 7 Oktober, di mana pasukan kendalian Jurgen Klopp itu menjadi satu-satunya lawan yang menewaskan mereka di laman sendiri pada musim lalu.

Kunjungan ke Tottenham Hotspur pada November juga dilihat bakal menyaksikan De Bruyne sekadar berada di tepi padang tetapi pertemuan dengan seteru setempat, Manhester United, pada 11 November disasarkan pemain tengah itu untuk kembali beraksi.

Sejak berpindah menerusi rekod yuran perpindahan kelab daripada Wolfsburg, De Bruyne telah menjadi watak utama dalam skuad City dan dia semakin meningkat setelah ketibaan Guardiola.

Melakukan penampilan pertama pada September 2015, dia mencatat 43 bantuan jaringan dalam 91 aksi Liga Perdana Inggeris dan menyumbat 21 gol.

City memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal minggu lalu, seminggu selepas menjulang trofi Perisai Komuniti susulan kejayaan mengatasi Chelsea.

Anak-anak buah Guardiola akan menyambung aksi liga berdepan Huddersfield Town esok.