Kevin de Bruyne belum mampu untuk memenangi kembali tempatnya dalam kesebelasan utama Manchester City ketika pasukan itu akan melayani kunjungan Chelsea, awal pagi Isnin ini.

De Bruyne merupakan pemain terbaik City musim lalu ketika mereka meraih kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) dan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kutipan 100 mata.

Pemain tengah kebangsaan Belgium itu terpaksa menjalani pembedahan di kedua-dua bahagian lututnya akibat kecederaan sebelum kembali membarisi kesebelasan utama City selepas berehat enam bulan.

Pengurus pasukan, Pep Guardiola, memilih untuk meletakkan De Bruyne di bangku simpanan ketika kunjungan mereka ke laman Everton, Rabu lalu.

Walaupun pemain berusia 27 tahun itu memberikan impak segera dengan membantu jaringan Gabriel Jesus pada lewat permainan -- yang membantu kemenangan 2-0 City-- dia mungkin akan sekali lagi diberikan peranan sama ketika pasukannya menentang skuad kendalian Maurizzio Sarri itu.

"Mungkin juga, ia berkemungkinan terjadi, itu sudah pasti," kata Guardiola.

"Semua pemain tahu dia mungkin dapat diturunkan dan mungkin juga tidak.

"Kami menilai setiap pemain berdasarkan apa yang mereka mampu lakukan.

"Adakalanya mereka berada dalam prestasi terbaik dan adakalanya tidak.

"Ada waktunya rakan sepasukan mereka berada dalam kondisi yang lebih baik.

"Dalam bola sepak, apa yang pernah anda lakukan itu sudah berlalu, anda perlu mengulanginya," katanya lagi.

Bagaimanapun, sumbangan De Bruyne dalam aksi di Goodison Park sebelum ini tidak dipandang sepi Guardiola.

Dia mengakui bebanan tugas yang dihadapi pemain perlu dikurangkan selepas pasukannya melewati tempoh kecederaan pemain yang menggusarkan.

"Kami mencuba untuk mengawal setiap pemain.

"Dia beraksi dalam dua perlawanan terakhir dan saya lebih gemar dengan apa yang disumbangkannya ketika beraksi selama beberapa minit.

"Apa yang saya mahukan daripada Kevin adalah dia perlu memberikan aksi terbaik sepanjang lima minit terakhir perlawanan.

"Ditambah dengan masa kecederaan, dia pasti dapat memberikan aksi luar biasa," tambahnya.

Kemenangan ke atas Everton memastikan City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan jaringan buat kali pertama sejak Disember lalu walaupun mereka kini telah beraksi lebih satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, Liverpool dan Tottenham Hotspur.