Kapten Wales, Gareth Bale, adalah seorang ketua yang memberi contoh di atas padang, kata rakan senegara, Ben Davies.

Bale menjadi sasaran kritikan terbaru susulan kekalahan berturut-turut yang dialami Real Madrid di tangan Barcelona sambil bintang Wales itu dilihat sebagai punca kepada kempen yang buruk di Santiago Bernabeu.

Ejen kepada pemain berusia 29 tahun itu, Jonathan Barnett, melabelkan peminat Madrid sebagai memalukan, merujuk kepada layanan yang diberikan penyokong Los Blancos buat pemenang empat kali Liga Juara-Juara Eropah itu.

Manchester United sering dikaitkan dengan Bale untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris tetapi terbaru, wujud laporan dia bakal menyarung jersi Spurs buat kali kedua, di mana dia pernah memenangi dua anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA sebelum berhijrah ke Madrid pada 2013.

"Saya tidak boleh memberi kenyataan mengenai kehadirannya ke Spurs kerana saya tidak tahu ia bakal berlaku atau tidak," kata Davies.

Davies dan Bale merupakan tonggak Wales yang mara ke separuh akhir Euro 2016 dan pertahanan itu menambah: "Apabila kami bertemu dia dalam skuad kebangsaan, Bale adalah seorang ketua dan dia cintakan bola sepak.

"Dia memberi contoh di atas padang dan satu nikmat untuk beraksi bersamanya."

Spurs memiliki kelebihan 3-0 ke atas pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, Davies menegaskan pasukannya tidak akan menerima laluan mudah di Signal Iduna Park.

"Bagi kami, setiap kali menuju perlawanan, persembahan profesional perlu ditampilkan dan itu yang sering diminta daripada kami.

"Saya rasa ia bakal menjadi kali ketiga kami beraksi di sini dalam tiga atau empat tahun terakhir.

"Kami menentang pasukan besar, jadi kami sudah bersedia berbekalkan kualiti yang kami miliki."