Pertahanan Manchester United, Diogo Dalot, memuji semangat tinggi yang dipamerkan rakan sepasukannya sewaktu menewaskan Southampton 3-2, kelmarin.

Kemenangan United meletakkan mereka berada di atas Arsenal dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris untuk meraih slot Liga Juara-Juara Eropah sambil hanya dibezakan tiga mata dengan pasukan tangga ketiga, Tottenham Hotspur, yang gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi terakhir.

Bagaimanapun, United ketinggalan dalam babak pertama hasil jaringan Yan Valery sebelum rembatan lencong Andreas Pereira dalam separuh masa kedua membolehkan The Red Devils mengikat kedudukan.

Romelu Lukaku menjadikan kedudukan 2-1 tidak lama kemudian tetapi sepakan percuma James Ward-Prowse ketika aksi berbaki 15 minit membuatkan keputusan seri bakal disaksikan di Old Trafford.

Namun, Lukaku akhirnya menamatkan perjuangan The Saints dan Dalot -- yang tampil menyinar selepas menggantikan Alexis Sanchez ketika rehat -- melihat ia adalah aksi mengagumkan daripada United.

"Ini adalah Manchester United. Apabila anda ketinggalan 1-0, kami sedar penyokong sentiasa memberi sokongan dan mahu kami menang," ujar Dalot.

"Saya rasa lambang itu memberi semangat apabila bercakap tentang kebangkitan, keinginan serta disiplin dan bagi kami, ia merupakan satu lagi perlawanan yang kami serahkan segalanya.

"Kami diberi tamparan apabila dibolosi buat kali kedua. Ia adalah jaringan yang hebat dan David De Gea tidak berpeluang menghalangnya.

"Namun, kami sedar kami hanya mempunyai tempoh 10 minit dan seperti saya katakan, kami adalah Manchester United dan mahu menang. Akhirnya, Lukaku menyumbat jaringan kemenangan.

"Ia sentiasa menjadi satu penghormatan apabila beraksi di stadium ini dan mengagumkan apabila menang menerusi satu kebangkitan. Ia sukar dipercayai."

Aksi seterusnya buat United adalah perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) di tempat lawan, di mana The Red Devils tewas 2-0 dalam pertemuan pertama.

Dalot menegaskan United akan ke Paris tanpa perasaan gentar dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

"Kami ketinggalan 2-0, tiada tekanan buat kami tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan dalam kelab ini, anda lebih mengetahui tentangnya," tambah Dalot.

"Jika kami boleh menyumbat gol, mereka akan risau, jadi kami akan fokus untuk melakukannya."