Diogo Dalot mengakui telah melalui perjalanan yang sukar di Manchester United selepas menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu ketika menewaskan Tranmere Rovers 6-0 dalam pusingan keempat Piala FA di Prenton Park semalam.

Dengan memulakan permainan buat kali pertama sejak Oktober lalu, Dalot menjaringkan gol kedua United selepas menemui hantaran Anthony Martial.

Ia momen yang amat istimewa buat pemain berusia 20 tahun itu, yang hanya melakukan enam penampilan dalam kesemua kejohanan kerana kecederaan.

Sememangnya, masalah fizikal telah mengganggu perkembangannya di Old Trafford sejak tiba daripada Porto pada 2015.

Bercakap mengenai jaringan pertamanya itu, Dalot berkata kepada media dalaman United: "Ya, (keraian itu) lebih kepada meluahkan apa yang saya pendamkan selama tiga bulan ini.

"Ia perjalanan yang sukar tetapi seperti yang saya kata, perkara seperti ini, kemenangan dan gol seperti ini, membuatkan kami berasa telah melakukan tugas dengan baik dalam berjuang, bekerja keras setiap hari dan mengambil peluang," katanya.

United memperoleh kemenangan terbesar di laman lawan sejak 1999 hasil sentuhan Dalot, Harry Maguire, Jesse Lingard, Phil Jones, Martial dan Mason Greenwood.

Ia meningkatkan keyakinan skuad The Red Devils itu, yang hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan gagal menjaringkan sebarang gol ketika tewas kepada Liverpool dan Burnley dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala EFL dengan Manchester City awal pagi Khamis ini, Dalot berbangga dengan cara pasukannya berjuang untuk mendapatkan keputusan itu.

"Ia seperti perlawanan besar. Jika kami tidak hadir dengan keinginan dan mentaliti yang tepat, ia akan menjadi lebih sukar.

"Seperti yang saya katakan, kami melakukan tugas dengan baik hari ini.

"Mentaliti yang tepat, perjuangan yang betul, menghormati lawan dan memenangi perlawanan.

"Itulah yang kami usahakan setiap hari, untuk perlawanan seperti ini, untuk perjuangan seperti ini dan sekarang, kami fokus untuk esok dan akan mengulanginya Rabu (awal pagi Khamis) ini," katanya.

Sebagai rekod, United ketinggalan 1-3 secara agregat kepada City.



Editor: Muzaffar Musa