Cudicini gembira dengan aksi cemerlang Kepa

Oleh Staff Writer 7 Januari 2019 1572
Cudicini gembira dengan aksi cemerlang Kepa
Kebolehan Kepa Arrizabalaga menyesuaikan diri dengan corak permainan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) telah mendapat kelulusan jurulatih Chelsea, Carlo Cudicini.

Chelsea menjadikan Kepa sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak selepas mereka membayar EURO80 juta (RM376 juta) untuk mengaktifkan klausa perpindahannya daripada Athletic Bilbao, Ogos lalu.

Usaha kelab mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu telah mula memberikan hasil buat skuad kendalian Maurizio Sarri itu dalam saingan EPL apabila sekadar bolos 16 kali daripada 21 penampilan.

Cudicini, yang kini merupakan sebahagian daripada staf kejurulatihan Sarri, berhijrah ke Chelsea dari Castel di Sangro pada 1999 dan beraksi di England lebih daripada sedekad -- menyertai Tottenham pada 2009 sebelum berhijrah ke LA Galaxy empat tahun berikutnya.

"Saya masih ingat ketika kali pertama beraksi untuk Chelsea dan ia merupakan satu pengalaman yang berbeza, corak permainan fizikal dan kelajuan yang ditampilkan oleh pemain-pemain dalam saingan EPL," kata Cudicini.

"Ia merupakan cara yang berbeza dan saya berasakan Kepa sudah menyesuaikan dirinya dengan baik.

"Dia tidak menunggu lama untuk menyertai kesebelasan utama. Tidak memiliki masa untuk membiasakan diri dan telah menampilkan aksi yang berkualiti. Kami semua gembira dengan aksi yang ditampilkan Kepa," ujarnya.

The Blues akan berdepan Spurs dalam aksi pertama separuh akhir Piala EFL esok, dengan Sarri memasang impian untuk meraih gelaran utama dalam kariernya sebagai pengurus.

"Ia merupakan sesuatu yang penting untuk memenangi gelaran dalam musim pertama.

"Anda memiliki peluang untuk melakukannya pada bulan Februari dan ia akan membantu melonjakkan semangat pasukan hingga penghujung musim."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen