Tonggak tengah Bournemouth, Lewis Cook, mengalami kecederaan lutut dan bakal disisihkan sehingga sembilan bulan selepas disahkan oleh pihak kelab.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan itu ketika pasukannya menewaskan Huddersfield Town 2-1, Selasa lalu, tatkala keputusan itu membolehkan The Cherries naik ke tangga ketujuh liga.

Cook meraih penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England, Mac lalu, dalam aksi persahabatan menentang Itali sebelum kembali bersama pasukan B-21.

Dia kini akan terlepas keseluruhan baki musim ini, sekali gus terpaksa melupakan sepak mula kelayakan Euro 2020 serta saingan Liga Negara-Negara UEFA, Jun depan.

"Pemain tengah Bournemouth, Lewis Cook, terpaksa direhatkan bagi tempoh enam hingga sembilan bulan susulan kecederaan lutut," kata wakil kelab.

"Cook ditemani oleh staf perubatan pasukan selepas perlawanan sebelum perkembangan lanjut dan imbasan yang dilakukan Rabu lalu mengesahkan kerosakan di bahagian lutut kanan."

Pengendali Bournemouth, Eddie Howe, menyatakan rasa simpati terhadap apa yang dialami pemain muda itu.

"Kami bersimpati dengan Cook. Ia satu tamparan besar buat pemain yang sangat berbakat setelah muncul tonggak utama buat pasukan dalam 18 bulan terakhir.

"Namun, dia adalah seorang yang berpewatakan kuat dan sokongan dalam bilik persalinan sentiasa bersamanya tatkala dia pasti akan kembali lebih bagus.

"Cook perlu mendapatkan sokongan penuh daripada semua pihak dalam kelab untuk beberapa bulan akan datang sambil menerima rawatan terbaik."